Dia

Aku teringat tentang sesuatu yang lebih jauh.

Kami berkenalan secara kebetulan. Dia paling senyap di dalam kelas maka beberapa budak lelaki lain tak senang dengan aura janggal yang berpusing sekitar dirinya. Mereka selalunya akan mengumpat (sama ada perlahan atau kuat) dengan harapan dia akan mula jelek dan bergerak mengikut arus. Aku salah seorang antara mereka namun pandangan aku berbeza. Aku rasa dia menarik dari satu sudut. Dia tak akan cuba menunjuk atau cari perhatian secara murah. Dan aku percaya kalau dia ada dalam peluang begitu, dia akan ucap terima kasih sebelum beredar jauh – personalitinya kuat barangkali.

Jadi mereka yang lain mula rencana sesuatu yang jahat (untuk zaman sekolah menengah) bagi mengubah keadaan. Mereka ingin lukis sesuatu di papan hitam bagi menyakatnya, ambil begnya ketika rehat dan sorokkan di salah satu meja gadis asing di kelas sebelah. Waktu mereka semua beritahu aku tentang rancangan ini, aku hanya menolak dengan buat muka bosan.

Waktu rehat tamat dan semua berada di tempat masing-masing, tersenyum nakal yang meragukan. Aku cuba alih pandangan ke luar tingkap dan abaikan segala perkara yang berlaku, sama ada sebelum, semasa, atau akan datang – akal aku hanya fikir untuk tidur di rumah lepas sekolah.

“Dia datang.” Salah seorang bisik pada yang lain.

Dia melangkah perlahan ke mejanya. Awalnya dia hanya duduk dan pandang sekitar mencari begnya. Ada sesekali dia pandang ke depan melihat papan hitam dan dia hanya gelak pantas, perlahan. Dia dilukis seperti watak manga berskala chibi dengan buih dialog betulis saya pondan tambah gila di depan. Aku tak pasti apa yang bermain dalam kepalanya. Memandangnya tergelak, aku ikut sama. Mungkin dia meraikan reputasinya yang terletak di aras tersendiri.

Cikgu masuk kelas, padam papan hitam, dan terus mengajar. Dia ambil buku bawah meja dan membaca selamba. Kelas tamat dan berganti guru lain. Normal; semuanya berlaku tanpa ada apa-apa kesan.

Waktu subjek terakhir tamat, dia sedang tidur dengan kepala atas mejanya, earphone di telinga macam biasa. Mereka yang lain buat muka kecewa dan lepaskan rungutan masing-masing sambil berjalan keluar kelas. Rancangan mereka yang menarik berakhir keadaan selepas yang bosan. Aku ke meja dan kejutkan dia.

“Urgh,” dia terkebil, cabut earphone, “dah waktu balik.”

Ini kali pertama aku dengar dia bercakap kasual seperti dalam perbualan. Suaranya selalu digunakan untuk membaca baris-baris dari buku teks atas arahan cikgu.

“A’ah,” balas aku, “beg kau ada kat sebelah.”

Dia pandang aku rapi dengan mata kuyu pasca-tidurnya, “oh OK.”

“Aku kagum dengan kau. Relaks je tak gelabah bila beg hilang semua.”

“Siapa cakap aku tak gelabah?” dia bangkit dan hala ke pintu belakang kelas, “aku asyik fikirkan pasal beg aku waktu kelas tadi.”

Aku ikut dia ke kelas sebelah. Jam masih pukul 6.40 petang. Bas aku selalunya akan sampai dalam pukul 7.

“Oh kat sini.” Dia bergesa ambil begnya.

“So diorang letak kat sini. Ni tempat Alia rasanya.”

“Siapa tu?”

Aku gelak kecil, “kau memang hidup dalam dunia kau je kan? Alia ketua kelas sini. Dia antara yang perempuan yang cantik dalam batch kita. Kalau ikut dalam carta, dia nombor 3 rasanya.”

“Korang buat carta untuk budak perempuan batch kita?”

“A’ah.”

“Hm menarik. Macam mana korang buat penilaian? Maksud aku, cantik tu kan subjektif. Melainkan ada satu kepala yang bagitahu A tu cantik, aku tak rasa korang semua boleh berpuas hati dengan carta tu.”

Aku hanya diam dan kagum dengan soalannya. Sebelum ini mereka yang lain akan abaikan soal carta tersebut, kau tahu, tentang struktur dan bagaimana penilaian dibuat. Selalunya mereka akan terus tanya siapa nombor satu sebelum esoknya mencari budak perempuan tersebut.

Ini dia. Dia lebih suka menyoal sesuatu lebih dalam.

“Hm penilaian dibuat dengan teliti dan mereka semua kena terima kasih kat aku sebab sistem carta ini!” Aku buat muka bangga, “kitorang akan buat jadual antara imej dan personaliti. Contohnya proportion hidung, mata, dan lain-lain. Dan ia seperti undian sebab semua ada hak untuk beri markah dari skala 1 ke 5. Dari situ markah akan dikira dengan purata.”

“Personaliti pula macam mana?”

“Personaliti lebih kepada err, personalitilah. Contoh macam dia datang kelas pukul berapa, pernah kena denda sebab tak buat kerja sekolah ke tak, atau dia jenis yang suka bergaul dengan lelaki atau tak.”

Dia pandang dengan muka ingin tahu yang sangat ketara. “Jadi kalau dia jenis suka layan lelaki maknanya markah rendah?

Aku geleng pantas, senyum bijak, “tak. Sebab tu aku cakap ia berdasarkan markah purata. Ada yang rasa bergaul dengan ramai lelaki tu satu bentuk keyakinan dan ramah. Dan ada yang rasa ianya, well, gedik.”

Dia angguk dan langkah perlahan ke pintu kelas.

“Kejap, kau nak kasi markah sekali tak?”

“Tak kot. Aku tak reti nak kasi nilai.”

“Guna common sense je pun. Kau takkan tak pernah bezakan mana cantik mana tak?”

“Tak. Aku tak pernah kisah jadi aku pun tak bezakan apa-apa.”

“Ignorant jugak kau ni.”

“Oblivious mungkin, ignorant terlalu baik.” Dia gelak sebelum beredar penuh. Susuknya hilang sebalik belok di tangga menuju ke bawah.