Elak Beban

Ada seorang kawan yang tanya saya tentang kehidupan dengan mata gelap yang bersinar, seolah dia menantikan satu wahyu unggul yang berderai keluar dari mulut saya. Saya tak tahu untuk berkata apa, janggal dan bingung. Selama saya bernafas 20 tahun dengan langkah merewang liar, saya tak rasa diri saya cukup tahu tentang kehidupan – ianya sangat misteri. Seperti tiap hari saya dilahirkan semula hanya untuk merasai pengalaman yang berbeza. Bagaimana saya cuba gunakan silam saya sebagai rujukan untuk terus selamat, saya pasti akan tersilap langkah pada waktu akhir.

Jadi saya pandang dia dengan senyuman ramah, awak tahu, berharap dia faham yang saya cuba nyatakan masalah hidupnya tak terlalu serius dan menekan, dan dalam masa yang sama beritahu di luar sana barangkali ada yang cukup selesa dengan kesakitan hidup. Masalah merupakan sedatif bagi mereka untuk tenang dalam dunia ini. Jasad mereka diikat dengan tekanan terlalu lama hinggakan suatu hari ikatan tersebut bersatu dengan kulit dan jadi sebahagian dari diri mereka; putuskan ikatan tersebut dan mereka akan mati keresahan.

Pada akhir perbualan kami dia berkata, jadi untuk terus tak dibeban maka kita perlu seronok dengan kesakitan dan masalah kan? Dan pada waktu tersebut saya terpaksa akui dengan realiti – terima kata tersebut, angguk dan berpisah.

Kami tak bertemu lagi selepas itu.