Senang

Ibu pernah katakan aku seorang budak yang bijak dan beruntung, entah bagaimana, semua idea tersebut menyusup perlahan dan membentuk aku sebagai prinsip hidup. Awalnya, aku fikir dunia sangat mudah – selagi kita mampu fokus dan abaikan perkara sekeliling, kita akan senang melepasi cabaran hidup. Sampailah suatu masa yang ia datang seperti bencana dan mula menggugat segala yang aku sangkakan adalah kebenaran; perkara dalam dunia ini kadang tak masuk akal.

“Semua manusia dilahirkan untuk berjaya,” ibu basuh pinggan di dapur, aku hanya duduk membaca di meja makan, “sebab tu mereka kata kita dilahirkan sebagai kain putih yang perlu dicorakkan.”

Aku cuba pandang susuk ibu dari belakang dan dalam masa yang sama mengangguk perlahan tanda setuju. Melalui tingkap luar, aku dapat lihat Mak Jah, jiran belakang kami sedang bersihkan halaman depannya. Kami tinggal di kampung dengan kedudukan rumah yang bepusat pada setiap hujung jalan atau lorong kecil. Ada antaranya jalan yang sudah sedia dirancang ketika pembangunan awal kampung dan ada lorong asing yang lain dicipta sendiri oleh penduduk sini. Mereka katakan itu cara terbaik untuk sebuah perancangan kampung – semuanya berlaku atas dasar peribadi yang cuba untuk keluar dari masalah laluan mereka. Rumah kami terletak di hujung jalan yang dirancang awal, maka tidak ada masalah bagi orang luar untuk datang ke sini. Selain itu, ianya betul-betul di depan menghadap jalan, sedikit ke sebelah kiri dan rumah Mak Jah yang betul-betul terletak di ruang kiri pusat tersebut. Halaman depannya kecil bersebelahan semak yang tak terjaga, maka cukup pasti, dia tak akan merungut kerana dia sendiri sedar – beberapa kali dia bersihkan halaman itu pun tak akan wujudkan pemandangan indah.

Melihat Mak Jah gigih berkemas – menyapu, bakar sampah, susun pasu bunga – buatkan aku tersengih.

“Jadi Ibu nak kau buat yang terbaik waktu sekarang. Nanti masa depan senang.”

“Senang tu macam mana ibu?” lamunan liar melihat jiran belakang buatkan respon tersebut keluar secara automatik.

Ibu toleh ke aku dan tenung rapi. Aku balas pandangannya dengan muka yang ramah tanpa senyum. Aku harap dia mampu baca mata aku yang pertanyaan tadi sebenarnya retorik – senang dalam kehidupan merupakan benda dengan makna yang subjektif bukan?

“Senang maksudnya, erm…” Ibu alih pandang ke lantai dan pada waktu tersebut aku cukup pasti perkataan mudah ‘hidup senang’ tersebut rupanya lebih dari apa yang bertulis pada dasar. Ibu selalunya lebih suka senyum dan buat bunyi humming yang merdu dengan satu alunan melodi klasik jika dia ingin ambil masa untuk berfikir sebelum memberi jawapan kepada apa-apa soalan yang berat. Tetapi, tak kali ini. Riaknya lebih serius dengan dahi berkerut.

Soalan aku melampaui berat akal barangkali.