Ianya lewat malam dan saya sedang merasakan sesuatu yang saya tak pasti apakah ia dan dari manakah ia datang dan ia terlalu rawak seperti bebuih dalam tab mandi yang pecah berderai disentuh udara halimunan dan bau krim mandi yang enak dengan rasa buah-buahan natural atau ini semua sebenarnya dalam sebuah mimpi yang janggal, kau tahu, untuk wujud perasaan dari mimpi tersebut ketika kita mimpi dan bukannya selepas kita bangkit dan memikirkannya oh tak tak, sudah tentu tak, sebab kalau kita mampu merasa dalam mimpi maka kita akan cuba jadi bekuasa dan mengawal mimpi kita dengan adegan fantasi berjalan di lautan yang penuh ikan jerung yang ramah dan beberapa kekura sedang bertemasya dengan sake di tangan menjerit KANPAI! ke semua penduduk lautan tersebut menandakan ianya suatu majlis umum dan kita tak perlu rasa terasing dengannya sebelum kita mula pandang betul-betul pada suatu kain rentang di atas bertulis Tahniah Buat Kamu Yang Berjaya Menjumpai Diri Sendiri dengan corak warna-warni berpintal di tepi dan beberapa tandatangan awam yang kelak mereka akan katakan kita ialah idola mereka kerana mereka memuja kita dalam satu ritual bersistem dan tersusun dengan beberapa buah belimbing sebagai tawaran buat kita di dalam dunia tuhan atau pada ketika itu kita cukup buntu dan ego kita beritahu kita hanya semi-tuhan dan bukannya tuhan sebelum bencana mula datang dan kita berlari darinya sebelum masuk ke satu lubang yang kedalamannya hanya semi-tuhan yang tahu dan kita ketawa sebelum lebarkan cuping telinga dan kibarkannya sebagai sayap untuk naik ke permukaan dan…
Ianya lewat malam dan saya benci dengannya.