Jurang

Jurang antara saya dan dia cukup jauh. Selama saya berlari mengejar melalui tangga yang menaik ke atas, saya dapat rasakan dia melampaui saya dengan berpuluh tapak di depan. Kadangkala saya tak rasa diri saya lambat, nafas saya semakin sesak dengan jantung yang berdegup pantas; letih. Berlari jauh dan saya dapat simpulkan sesuatu yang lebih: dia tak pernah ada di tangga tersebut. Dia sedang terbang di langit atas menembusi awan-awan sekitar. Akal saya menduga lebih awal, bagaimana untuk saya kejar dia dalam dunia yang berbeza namun selari? Adakah garis kami akan bertemu pada suatu titik takdir atau itu hanya impian yang lebih selesa di bawa ke tilam dengan bantal yang empuk?

Jurang antara saya dan dia cukup jauh. Dia seorang pelukis dan saya hanya susuk yang tanpa bakat. Dia boleh wujudkan saya dengan satu lukisan dan dalam masa yang sama sentuhan berusnya juga boleh menjadi senjata untuk meratah jasad saya di kanvas tersebut. Bagaimana? Mungkin kerana dia boleh lihat saya ke dalam dari luar, boleh tahu berat emosi saya yang tertutup. Dia cukup menakutkan maka saya tak pernah berikan keputusan apa-apa ke dirinya walaupun segalanya cukup jelas.

Saya tak mampu tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk dia. Saya akan angguk dengan luahan perasaannya membalas riak mendengar, bukan menerima.

Katakan saya seorang yang pentingkan diri sendiri, maaf, saya tak akan dapat kejar dirinya.