Jujurnya, saya tak pernah langsung pergi ke mana-mana pantai sebelum ini. Mereka katakan ianya sebuah pengalaman yang seronok, kalian tahu, untuk berlari di pesisir pantai dengan pasir halus masuk ke celah jari kaki dan selipar, hujung laut yang membasahi lebihan seluar dengan bau masinnya, dan nyaman sinar oren matahari. Saya pernah cuba bayangkan semua itu sekali gus ketika dalam kelas. Semuanya masuk akal dengan beberapa karangan contoh tentang pantai yang diberikan oleh guru saya. Saya mula tertanya tentang sesuatu : bagaimana dengan mereka yang melihat pantai sebagai suatu tempat yang menakutkan? Dalam satu filem yang saya pernah tonton dulu, protagonisnya seorang gadis yang murung sering mengelak untuk pergi ke pantai walaupun pantai di sana cukup cantik. Suatu hari, dia terpaksa ikut keluarganya untuk bercuti dan dia hanya duduk di hotel (betul-betul bersebelahan pantai) dan merenung pantai dengan berselubungkan selimut. Mukanya pucat menentang segala definisi pantai yang dikatakan mereka, dalam satu ayat bingung; ‘suatu hari nanti kita akan tenggelam kerana terlalu ingin dekat dengannya, dan kita akan ditarik masuk dari dataran pasir ke dasar laut yang dalam, dan laut akan bertanya siapa kau? Dan kau akan beritahu nama, umur, dan tempat tinggal sebelum dia campak kau kembali ke darat dengan alasan dia tak pernah kenal kau.’
Perspektif kita meletakkan keindahan itu suatu benda subjektif bukan?