Mariaksasa

Malangnya kita tak boleh pilih raksasa yang diami diri kita!

Kata terakhir tersebut diulang-ulang ketika Maria ditarik untuk berada jauh dari sisi atap bangunan tersebut. Aku cukup faham apa yang dimaksudkannya. Maria bukan gadis bodoh yang liar dan berdebu seluruh badan atau akal, dia lebih celik dari itu maka mereka yang lain melihatnnya sebagai ancaman.

"Apa yang paling susah selain dari diketepikan awam?"

"Aku cukup kesian dengan kau," aku abaikan soalannya, "kau tak mampu untuk berdiri sendiri dalam keadaan terasing."

Dia diam dan melihat aku sekelam-kelamnya. Aku hanya mampu pamerkan murung untuk ikut keadaan dan persekitaran. Sekeliling pasca-hujan tersebut dan kami sedang duduk di salah satu pondok usang bedekatan dengan taman perumahan kami.

Ini mengingatkan aku tentang babak dalam satu anime yang mana seorang lelaki yang merupakan budak sekolah sering berteduh di bawah pondok ketika hujan. Dia akan keluarkan buku notanya dan kemudian mereka bentuk kasut kerana itu minatnya. Sehinggalah dia berjumpa dengan seorang gadis bekerjaya yang sama berteduh di bawahnya untuk hentian menjamah coklat dengan alkohol.

Bezanya kami berteduh kerana terpaksa. Aku tak pernah ingin kenal Maria, apatah lagi untuk rapat dengannya.

"Kau selalu mengelak dengan aku kan?" Maria muka serius, keningnya tajam, "apa kau benci aku?"

"Aku cukup kenal kau untuk benci kau Maria. Tak. Aku tak benci kau. Aku benci diri aku sendiri untuk terikat dengan kau."

"Sebab aku ni teruklah kan? Perempuan psiko yang selalu menjerit gila dalam kelas? Gitu?"

Aku hanya diam dan angguk sebab aku tahu, sekiranya aku menjawab, bait yang keluar darinya bakal membawa aku untuk selam dirinya.

Aku tak mampu untuk melihat sisinya di sana. Ia terlalu gelap hinggakan aku tak mampu untuk lihat anggota aku sendiri dan tak mampu bezakan yang mana satu tangan milik aku atau dahan yang liar. Barangkali jika aku lapar dalamnya, aku bakal meratah kaki aku sendiri yang aku rasakan daging binatang lazat dalamnya.

"Sebab tu Maria kau kena faham," kali ini aku sengaja mengejutkannya dari tidur, waktu kosong tanpa cikgu begini sangat bernilai, "persoalan kat dunia ni yang susah semuanya bermula dengan kenapa? atau, apa tujuan?"

"Hm apa tujuannya aku disisihkan begini?"

Aku cuba cari idea. Silap, aku sendiri yang mulakan perbualan ini.

"Kau tengok Naruto? Dia kena sisih sebab raksasa ekor 9 dalam diri dia. So aku rasa dalam diri kau ada raksasa jugak. Kau bakal jadi hero macam dia woot woot!"

Dia senyum dan selepas aku melihat dirinya diselamatkan (atau dibunuh, dalam erti Maria), aku tak lagi nampak dia selepas itu.

Jawapan kedua pada hari itu, dan nyata aku silap.