Rungkai Setia

"Apa yang kau impikan ketika bercinta?"

Asal kami yang senyap bermain telefon masing-masing ditarik dengan soalan rawaknya. Laila memandang aku. Sengaja dia sepetkan mata seolah menantikan jawapan terus.

"Impian aku ketika bercinta?" Aku toleh ke kiri, elak gaya mata jeleknya, "entah. Kesetiaan?"

"Hm, kesetiaan."

Dia mengangguk perlahan dan mencebik sedikit mulutnya. Kali terakhir kami dapat lepak begini adalah 2 tahun lepas. Waktu itu dia runsing tentang Farid yang tinggalkannya secara tiba-tiba dan dia cari aku untuk segala pencerahan tentang apa yang lelaki inginkan dalam hubungan. Aku hanya jawab yang manusia ini hidup tanpa corak; lelaki atau perempuan, bintang kita berbentuk lain di langit masing-masing. Jadi untuk agak apa sebenar tujuan Farid lakukan begitu ialah satu misteri — hanya tuan badan punya rasional asal.

Kali ini kami bertemu kembali dengan idea lepak. Kali ini juga aku kembali jadi seorang kawan.

"Kau tau," dia kembali bersuara, kali ini matanya normal, "aku dah couple dengan beberapa lelaki sebelum ni dan kesetiaan tu bukanlah apa sebenar yang diorang nak."

"Okay. Tapi kau tanya impian aku, bukan beberapa lelaki yang kau cakapkan tu."

Dia tersengih mendengar jawapan aku. Barangkali dia tahu aku bukan dalam mood untuk berkata tentang soal ini. Cinta atau kasih ini satu benda yang tak punya bentuk. Hari ini boleh jadi fakta dunia dalam buku sejarah dan esok boleh jadi tipu illuminati di blog asing. Apa aku kisah? Aku tak punya sesiapa untuk terikat lemah sebegitu rupa.

"Kesetiaan ni rumit lah bro. Semua orang akan tinggalkan kita. Jadi untuk elakkan sakit kita ditinggalkan, maka kita yang meninggalkan."

"Hm," kali ini aku yang mencebik mulut, pandang ke bawah gaya memikir, "itu jawapan yang terbaik."

"I mean macam alah biasalah kan kalau orang tawar hati ni. Dia ada alasan dia jugak; silam, semasa dan masa depan. Kalau kita fikir pasal ni, bukan setakat nak putuskan hubungan dengan pasangan je, putuskan hubungan dengan family pun boleh jadi."

Aku diam dan diam. Apa sebenarnya yang dimaksudkan Laila agak benar. Setiap dari kita membawa alasan yang paling terbaik untuk kita sampaikan. Sama ada mereka terima atau tak, itu bukan menjadi tanggungjawab kita.

Aku bencikan kau sebab lepas kenal seminggu, kau
ni mamat yang rush dan gelabah.


Aku lakukan tu sebab nak tunjuk
komitmen aku. Kau tak nampak?

Nay, kau rush gila babi macam tak reti faham keadaan.
Aku suka development yang natural. Based on jodoh.

Okay then. Bye, Im gonna miss you.

*masing-masing acah emo, keluar air mata*

Tak tahu kenapa tapi drama tersebut terngiang di akal aku ketika ini. Abaikan saja mood aku tadi, aku rasa apa yang diutarakan Laila agak berat dan menarik. Macam dia, aku tak rasa benda cinta atau kasih ni hanya satu lapis — ia bertingkat dengan bilik-bilik misteri.

"Aku anggarkan bila kita dah tak mampu untuk bersama mereka, itu tandanya takdir kita bukan untuk dia."

Laila menarik aku dari lamunan segera. Menembak aku dengan pointnya.

"Takdir. Kalau aku tak letak usaha dan aku cakap 'sorry kita dua tak ditakdirkan bersama', so macam mana?"

"Hm, kalau takde usaha means takdir kau tu tak lengkap lah kan?"

"Mende?"

"Entah. Aku pun taktau apa yang aku cakap." Dia buat muka pelik dan sedut air melalui straw, "benci ah cakap pasal ni. Satu benda berpusing lagi dan lagi. Macam takde kesimpulan akhir."

Aku hanya gelak mendengar katanya tersebut. Apa kesimpulan yang dia inginkan? Benda sudah cukup bersimpul dan apa yang perlu ialah perleraian yang mana ia seolah bermain dengan keyakinan dan percaya dari bukti parameter nombor atau eksperimen sains — Jad pernah cakap cinta ini macam agama, kau kena percaya dan pegang ia untuk terima ia.

Aku biarkan 5 minit sunyi dan kami bermain telefon kembali. Bosan. Aku pandang dia dan mulakan sesi yang baru.

"Apa yang kau impikan ketika bercinta?"