Rasional mimpi Syikin

Syikin pernah bagitau mimpi ni satu dimensi yang paling dekat dengan kita: yang dalam setiap langkah kita dalamnya, setiap satu adalah nilai risau kita di dunia sebenar. Minda tak sedar kita mula merungkai perlahan masalah kehidupan kerana kita tertekan tak dapat selesaikannya dalam realiti. Aku angguk dan diam — mungkin ya atau tak, aku tak perlu pastikan ia. Ada sesetengah mimpi yang mana ia bersulam dengan pandangan semalam dan ada yang seolah meletakkan aku di situasi masa depan. Kali terakhir aku ingat, mimpi aku sedang berada di satu dunia yang dewa-dewa sana adalah kawan aku dan kami memerhatikan penghuni syurga yang bergaduh; membandingkan siapa lebih beriman.

"Kau tak perlu rasa ianya palsu atau benar," Syikin kembali memandang lembut, jarinya melukis sesuatu atas meja, "sebab ia adalah satu kisah yang tak penting."

"Bagaimana kau cukup pasti dengannya? Bukankah ada petanda di sebalik mimpi?"

"Petanda? Ya, ia tanda kau dah lena tidur."

"..."

Aku diam dan pandang kiri. Sekumpulan manusia sedang meraikan sesuatu di skrin telefon bimbit mereka dan seekor kucing sedang duduk memerhatikan mereka. Barangkali menunggu makanan untuk dicampak percuma.

"Ia datang dengan lambat dan pergi dengan cepat." Syikin menarik aku kembali, perhatian aku kini seluruh ke dirinya, "macam cinta, atau kasih, atau sayang, whatever. Ianya datang lambat dan pergi dengan cepat."

"Hm aku rasa tak. Kalau mimpi datang dengan lambat, kita sudah tentu sedar bagaimana kita jejak ke mimpi tersebut. Inception; Cobb pernah kata yang kita rasa mimpi itu sangat benar hinggalah kita sedar dan waktu itu baru kita rasa sesuatu aneh."

"Kau hujah aku dengan idea fiksyen? Hekeleh."

"Well still, ianya idea jugak."

Dia senyum memandang aku, sinis, aku cukup pasti. Matanya dikecilkan seolah memikir dan dia kemudian pandang ke bawah. Aku perasan yang kucing tadi mula berdiri di sebelahnya.

"Datang dengan lambat dan pergi dengan cepat..."

"Ya?"

"Tak," Syikin balas membisik, "encik kucing, adakah kau bermimpi seperti manusia?"

Aku memandangnya berbual dengan kucing, atau paling kurang, cuba untuk berbual. 3 saat berselang dan kucing tadi hanya pandang dalam keadaan pegun dan mata yang dikelip perlahan — reaksi normal seekor kucing apabila perasan seseorang mula memberinya perhatian. Mungkin ia cuba untuk berlagak comel dan harapkan simpati.

"Kucing pun ada otak dan memori. So, mungkin dia mimpi jugak." Aku cuba untuk mencelah perbualan satu hala Syikin dengan kucing, "aku pernah nampak kucing mengigau, dia macam terketar atau tetiba bangkit."

Kucing tersebut menoleh ke aku seolah sedar aku sedang berkata tentangnya sebelum dia beredar dari tempat kami. Syikin berpaling ke aku dengan senyuman lebih lebar namun ironi, kelopak matanya agak kuyu seolah murung.

"Bila kau sedar," Dia berhenti pantas, ambil nafas, "ia datang dengan lambat dan pergi dengan cepat."