-1, sesuatu-tapi-bukan-kosong, +1

El tak faham dengan daya ingatannya yang baik terhadap benda kecil dari silam — antara sumpah atau anugerah. Dia selalu mempersoalkan silam dan masa depan. Sudah tentu masa depan lebih baik jika dibandingkan silam semalam namun ia seolah tak lengkap, ada sesuatu yang masih tak kena dengan dirinya yang semasa. Mungkin ia adalah ruang kosong yang berhabuk, mungkin ia adalah lubang hitam yang terus menarik segala benda yang wujud sekitarnya, mungkin ia adalah jiwa yang haus dengan emosi, atau mungkin ia adalah dirinya yang meraikan nafsu.

Aku pernah bertanya kepada El tentang kebolehannya untuk mengingat benda kecil ini. Dia berkata, suatu masa kau akan ada bayangan yang melintas laju di depan mata akal (dia bercakap secara metafora, aku cukup pasti) yang mana ia sangat jelas walaupun ia kabur. Imbasan tersebut seperti kejadian-kejadian semalam, emosi semalam atau diri kau yang semalam. Macam bila kau memandang cermin dan kau rasakan cermin itu serupa dengan kau sehingga kau angkat tangan kiri dan kemudian dia angkat tangan kanan — laku kau dan dia berbeza. Adakah ia menyakitkan? Aku tanya dengan cara yang paling sopan, takut dengan emosi El yang bakal terburai ke tanah rata dan menyejat ke udara kotor. Dia katakan well tak, ia tak menyakitkan tapi ia mengerikan, mungkin. Perasaan tersebut cukup kompleks, sebab, kau nak dia ada tapi dalam masa yang sama kau taknak dia ada. Kau rindu dia dalam masa yang sama, kau tak ingin dia.

El kemudian katakan yang dia tak anggap itu satu anugerah sebab ia tak pernah membantunya dalam melangkah kehidupan, tak pula dia anggap itu suatu sumpahan total yang mana dia terseksa dengannya. Terletak antara dua tersebut. Antara sumpahan dan anugerah, antara bencana dan nikmat.

Aku senyum melihatnya bersungguh untuk terangkan segalanya walhal aku tahu dia sedang berusaha untuk tak besungguh menerangkannya.