Angin Selamat

Kawan aku pernah berkata,

"Aku rasa drama ni subgenre fiksyen yang paling dekat dengan awam. Masalahnya, awam meraikan apa yang mereka inginkan dan si pencipta terus menurunkan darjatnya untuk ikut citarasa mereka. Jadi, pencipta itu tadi jadi kepada seorang penghibur."

Hiburan. Ia persoalan drama tv tempatan yang bertemakan cinta sebagai tiang paling kukuh dan segala perinci kecil mula terukir di keliling tiang. Ukiran tersebut hanya fungsi estetik, struktur utama ialah cinta tadi. Aku tak ada masalah dengan kisah cinta ini kerana aku rasa ia masih dalam kotak drama yang punya persoalan tentang kehidupan; dilemma pilihan, terikat dengan silam, dan moral-moral sampingan.

Bagi aku apa yang menyedihkan, drama begini diulang-ulang dengan cara yang sama; tiang cinta dan ukiran sampingan yang kalau tak wujud pun, tiang tersebut takkan runtuh. Aku tak perlu beri contoh, kalian turut sama meraikan sinikal ini bukan? Ada yang meraikan tanpa menyoal, ada yang meraikannya sebagai hiburan semata.

Aku teringat dengan Desha Otoko, drama Jepun pertama yang aku betul-betul tonton penuh. Ia masih berkait tentang cinta, tapi ia lebih kritis dari itu. Ia soal gaya kehidupan seorang otaku (istilah bagi pemuda-pemudi Jepun yang ekstrim merayakan budaya manga, anime) yang bertemu seorang gadis mempunyai status tinggi dan bibit kasih mula wujud antara mereka. Ya, cinta antara darjat. Ini benda biasa dalam tema begini bukan? Seperti yang aku katakan tadi, letakkan persoalan cinta supaya jadi lebih kritikal dan mendalam. Abaikan berat, dengan keadaan dunia sekarang, masyarakat perlu terima semua ni. Malaysia sedang bertatih membangun dan takkan nak terus raikan kisah-kisah fantasi hero jambu, pakai tee V-neck, seluar skinny warna-warni dengan sikap bad-boynya, atau heroin yang kalau lepak dengan kawan-kawan perempuan untuk lunch, mesti berborak soal lelaki lain — itu pun kalau dia ada kawan perempuan, selalunya heroin kena sisih sebab cemburu.


Drama ini sebenarnya berdasarkan kisah benar cuma ditambah pengisian yang lain. Aku pernah google forum asal yang menempatkan protagonis dan pengguna lain tapi thread asal telah ditutup. Kini yang ada, serpihan-serpihan dari sumber lain.

Apa yang membuatkan Densha Otoko itu tadi sesuatu, ia memperkenalkan aku mengenai istilah otaku tersebut. Ianya istilah asal mereka di Jepun, kiranya aku dah belajar sesuatu yang baru. Bagaimana babak dalam cerita ada bawa penonton untuk melihat persekitaran Comiket (Comic Market: salah satu festival di sana) turut memberikan aku idea tentang industri manga/anime di sana; ianya besar.

Isi yang seterusnya ialah soal sokongan dari awam. Ini antara yang menarik, kisah cinta protagonis berkait dengan tips dan kritik awam di forum internet yang dia sertai; dikenali sebagai A-Channel. Ia sedikit meletakkan peribadi watak pengguna forum sebagai kisah kecil. Contohnya seorang pemain bola keranjang yang cedera dan patah semangat untuk kembali ke dunia sukan dan seorang budak lelaki yang tertutup dan hanya duduk di bilik kerana takut dengan orang luar.

Persoalan lain yang aku dapat lihat dalam drama ini, adalah soal orang yang makan gaji dan terus ditekan dalam kerjanya. Ini secara tersirat, kerana kebanyakan babak begini lebih untuk menunjukkan soal komedi antara bos dan pekerja. Dengan keadaan protagonis yang lurus, dia sering ditindas — bukan dari bosnya saja tetapi dengan seorang pekerja perempuan lain. Oleh sebab protagonis tadi jenis yang lurus, aku tak rasa ianya membawa laku masochis atau sadis atau apa: dia hanya jenis yang tak ambil kisah.

Paling kurang, cinta Desha Otoko tersebut membawa isi yang sesuatu; gerak budaya untuk diketengahkan. Kita turut ada budaya korporat dan gadis kampung yang innocent bukan?

Sambungnya,

"Penghibur ni laku tapi bahaya jugak; dia menghiburkan awam dengan hasil kerjanya atau, dengan dirinya sendiri."