Terbang Tinggi yang Tertinggi.


Selepas dibangkitkan semula rohnya untuk menemui alam selepas mati, Oreki merewang di alam hidup biasa bumi — sepi desa, kecoh kota.

Mereka kata dia perlu mencari identiti sebenar dirinya sebelum boleh terbang ke sana.

       "Kau kena tahu asal kau. Dan dari situ kau akan tahu ke mana langkah kau selepas. Ia bukan soal mengikat diri dengan silam tetapi hey, setiap manusia merayakan zaman gemilang lamanya bukan? Dan dari silam itu yang membentuk arah kau satu persatu. Ia macam sequence bukan?"

Kata-kata Senjougahara yang cuba dicerna Oreki sehingga dia bertemu Yuno.

       "Kau pun telah mati?"

       "Ya."

Suasana menjadi janggal dengan senyap terpaksa. Deru angin cuba memenuhkan lopong-lopong sunyi sekitar.

       "Kau pun cari asal diri kau?"

       "Ya."

Oreki hanya mampu membalas satu kata dan angguk kebenaran. Barangkali dia tidak ada mood untuk semua ini; berbual dalam keadaan terdesak.

       "Mungkin melihat pengakhiran itu bakal mendedahkan awalnya? Kau tidak tahu akhir kau bukan? Atau kau lupa macam tu?"

       "Tak. Tak jugak." Oreki jengkel, "aku tahu macam mana proses kematian aku. Mudah, aku ditembak oleh musuh ketika proses transaksi barang antara aku dan klien."

Pupil Yuno yang berwarna cokelat gelap menghala ke atas. Mukanya berkerut memikir.

       "Jadi, kau masih tak tahu asal kau?"

       "Asal aku berpasak dengan silam aku yang dah bertahun lama. Mana mungkin benda kecik macam mati tu boleh tunjukkan semuanya."

Reaksi Yuno masih sama. Lapan saat sebelum Oreki menyambung.

       "Tapi ada sesuatu yang membingungkan aku ketika hampir mati ditembak tadi.

       "Apa dia?"

       "Ada senggak masa. Hm, ia macam ruang. Antara waktu tembakan itu dilepaskan dan waktu peluru itu tembus kepala aku; ada perasaan yang pelik terhadap sekitar."

Yuno terus mendengar. Ianya menarik baginya kerana kematiannya tidak hip; mati sakit tua.

       "Waktu tersebut perasaan aku menentang ajal yang bakal tiba. Tapi dalam masa yang sama, rasa bersyukur, sebab lepas mati ini aku bakal meninggalkan kerja bangsat yang bergaji sikit ni. Konflik."

       "Dan dalam konflik tersebut bayangan mula muncul. Aku nampak bandar Las Vegas macam dalam filem Con Air 2 waktu kapal terbang mendarat tu. Aku nampak anak kawan aku yang aku bunuh bersama ayahnya soal bisnes. Aku nampak sesuatu tidak berkepala, mungkin hantu? Atau mungkin dullahan? Sebab dia menunggang kuda hitam. Entahlah."

Yuno terpaku, senyap sebelum berpaling meninggalkan Oreki.

       "Inilah masalah budak zaman sekarang ni," Yuno berkata dalam hati, "entah apa yang kau hisap sebelum mati pun tak tahu."