Babak 1 — Permulaan.
"Di sini ialah permulaan. Seolah mereka telah menemui cahaya semangat yang dasyat. Mimpi. Mimpi yang berolah menjadi realiti. Mereka inginkan emas dan mereka terima emas. Inginkan permata dan terima permata. Dua garis antara mimpi dan realiti telah bertemu! Semua menjadi molek, setiap langkah menjadi tepat. Ia takdir! Takdir yang bercinta dan bersatu dengan impian. Impian bunga mereka."
Babak 2 — Masalah
"Namun, garisan mimpi dan realiti itu tadi hanya bertemu di satu titik. Titik gembira, titik semangat, sebelum kedua garisan itu mula berpisah kembali. Mereka tertipu dengan mimpi. Jelas mimpi dan realiti tidak akan bersatu. Impian itu ialah harapan. Dan harapan berakhir kecewa dan penyesalan. Dan dia, tuhan kepada idea, tuhan kepada reka, dia saja yang berkuasa. Kuasanya adalah satu; untuk menghancurkan mimpi mereka yang penuh penipuan itu. Untuk memberi simbol bahawa tiada yang sempurna datang dengan gembira. Dusta."
Babak 3 — Tekanan
"Kenapa kita dicabar untuk mencipta dan mereka? Idea itu bebas dan tuhan itu tadi hanya akan menentang. Kritikan? Hey, wahai tuhan reka, idea itu subjektif dan bebas! Kau takkan faham mereka dan mereka takkan mampu terima kau begitu saja. Setiap idea reka datang bersama intipati egois dan semangat. Dan tuhan ini, mahu cabar ego mereka? Gila! Kenapa mereka perlu tersangkut dalam dunia idea ini? Dalam agama kreatif ini? Kreatif tetapi punya arah dan mahzab idea yang ketat. Dan setiap idea mereka, tuhan reka ini akan cantas! Mungkin, mungkin mereka perlu keluar. Murtad dari agama seni berperaturan ketat sebegini."
Babak 4 — Bangkit
"Mereka mula rasa terlalu rendah dalam keadaan jatuh begitu. Tapi rasional mereka, ego mereka, tidak membenarkan si tuhan reka untuk bersorak menang. Maka mereka mula kembali mencabar. Mungkin ini akan jadi usaha yang terakhir, membuktikan kepada tuhan reka, mereka perlu didengarkan semula. Idea mereka perlu diketengahkan sekali lagi. Dan sebagai pengikut agama seni kreatif ini, mereka punya hak untuk persoal dan berjuang kembali. Katakan saja mereka radikal atau apa-apa, yang penting mereka perlu bangkit dan tunjuk idea mereka yang bakal dperbaiki kali ini. Wahai tuhan reka, mereka kini kembali. Kembali membawa idea yang berganda kualiti, yang lebih terperinci dan berani."
- skrip persembahan telah disunting sedikit.