Tuhan tanpa hamba.

       Aku tak inginkan dunia kita berdua berakhir. Namun dalam masa yang sama, aku tak pernah impikan dunia kita berdua bermula.

Buku nota Ras mula penuh dengan segala luahan hatinya hari ke hari. Dalam masa yang sama, dia merasakan dirinya terperangkap di dalam sebuah bekas yang terlukis pemandangan yang indah, dan dia merupakan watak protagonis di dalamnya.

       Kalau aku seronok bersendiri begini maknanya aku mula menerima diri aku bukan? Ya, aku sangat pasti akan tersebut. Manusia mamalia seperti kita sukar untuk hidup bersendiri tanpa bergantung dan kini aku merasakan rahmat bersendiri begini. Tapi kenapa? Bukankan ianya patut menyedihkan?

Ras merewang di dalam fantasinya selangkah demi selangkah, meneroka suasana idealnya yang luas terbentang. Dia adalah tuhan di dalam dunianya, maka dia mencipta sebuah dunia yang lengkap dan sempurna.

       Untuk mencipta dunia dan cerita versi aku sendiri sangat seronok. Aku mampu menjadi sesiapa saja yang aku mahu. Dari penyelamat ke penjenayah. Semuanya di dalam kawalan aku. Siapa perlukan rakan jika mereka kekal dalam undang-undang haiwan itu? Yang karnivor bakal meratah mangsanya, dan si lemah di dalam kumpulan (barangkali si herbivor) bakal mengorban dirinya dan jika tiada pilihan lain, semestinya tanpa ragu mereka akan mempersembahkan rakan mereka sendiri sebagai mangsa tawaran. Bangang.

Namun satu yang perlu diketahui adalah apabila dia menjadi tuhan di dalam dunia bersendirinya tersebut, ini bermakna dia akan terus berkuasa tanpa batas. Dan dalam masa yang sama, ketika kesempurnaan itu mencapai puncak, persoalan utama bakal timbul; sempurna yang bagaimana adalah sempurna?

       Oleh sebab aku bersendiri di dalam dunia ini, aku tidak tahu sama ada aku adalah tuhan atau sekadar pengecat bintang. Aras aku mula tercabar dengan persoalan yang sepatutnya tuhan tidak persoalkan. Tanpa mereka, di mana pengiktirafan aku sebagai tuhan? Adakah aku tuhan sebenar-benar tuhan di dalam dunia aku ini?

Ras menutup buku notanya dan memandang langit yang mendung di luar. Barangkali mengimpikan panahan petir yang dahsyat ketika dia berjalan pulang dari sekolah kelak.