"Jika aku lepaskan kau, apa yang kau akan lakukan selepas ini?"
Lelaki A bertanya kepada tebusannya. Sudah empat tahun dia ditahan dalam keadaan sedar.
"Saya tidak tahu," tebusan memandang bawah dengan sedikit murung, "apa yang perlu saya jangkakan pada masa depan?"
Lelaki A diam. Dia menoleh ke kanan dan memandang sesuatu jauh — sedikit termenung. Mereka berdua tidak memandang sesama sendiri dan tidak tahu untuk berkata apa. Yang pasti, si tebusan menunggu jawapan dari lelaki A.
"Saya juga tidak tahu." Lelaki A bersuara dalam perlahan. Dia cuba berbisik pada angin dan tebusan sedar itu bukan jawapan yang dirinya ingin dengar.
Awal empat tahun bersama, si tebusan membantu lelaki A dalam rancangannya; untuk mendapatkan wang tebusan dari keluarganya sebanyak dua juta ringgit dan mereka berjaya. Si keluarga tidak pernah bertindak untuk menyelamatkan tebusan, dan si tebusan sedar dia tidak lagi penting. Kini dia hanya bergantung kepada lelaki A; makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Mereka menjadi rapat dan waktu tidak menyebelahi kedua mereka. Lelaki A harus pergi dan si tebusan faham akan hal sebenar.
"Kau." Lelaki A memandang tepat ke wajah si tebusan, "kau kembalilah kepada keluarga kau. Itu tempat asal kau."
"Baik. Jika kau katakan begitu." Si tebusan bangkit dan perlahan pergi.
Lelaki A pegun memandang pemergian si tebusan. Seperti si tebusan, dia perlu pergi juga. Masa tidak pernah cukup. Masa tidak mampu menentang keinginan infinit dirinya.
"Maaf. Kerana aku sedang bertarung dengan masa depan. Dan lawan aku adalah masa silam." Lelaki A berkata dalam hati, sebelum matanya tertutup dan pergi mengembara mimpi abadi.