Antagonis Protagonis

Aku berjalan menyusuri tangga dari tingkat dua ke kantin. Kelihatan semua sedang sibuk menghabiskan masa rehat dengan makanan masing-masing — di gazebo bertentangan kantin, pondok berhadapan pagar depan sekolah dan di bangku-bangku sisi dinding rawak; semuanya sedang menikmati makanan bersama rakan mereka masing-masing.

Di kantin, aku tertanya sendiri apa yang sedang mereka di sana bualkan. Kelihatan seperti seronok. Mungkin itulah perasaan apabila kita mempunyai teman yang kita mampu berbual dan berkongsi cerita. Dan aku, hanya bersendiri makan di sini. Mungkin bangku biasa di sini hanya untuk manusia yang tidak menarik seperti aku.

       "Hai."

       "Err, hai."

Orang yang paling aku takut muncul di depan aku. Aku menggunakan daya yang mampu untuk berpura senyum, kelihatan seperti ramah.

       "Hm senyap je eh awak sekarang?" Dia senyum ke arah aku, "kalau Zamri yang dulu sure dah buka topik untuk berbual sekarang."

Dia ketawa sedikit setelah berkata sedemikian. Aku tidak faham bagaimana dia lakukannya namun ia seolah menyiat jiwa aku. Mungkin aku tidak pandai untuk berlagak seperti biasa atau mungkin aku terlalu pandai untuk sedar akan sakit yang aku rasa ini tidak boleh disorok. Kami hanya senyap sambil menikmati makanan masing-masing.

       "Hm, kalau Zamri yang dulu mesti dah buat lawak lame bagai."

Sekali lagi dia ketawa sedikit. Adakah katanya tersebut sinis? Jiwa aku tidak tahan dengan perit tersebut.

"Awak selalu bandingkan Zamri dulu, Zamri sekarang. Saya rasa Zamri tetap Zamri tak kira macam mana pun orang lain pandang saya. Kalau awak prefer Zamri dulu dari Zamri sekarang, sila pergi dari sini. Maaf kalau saya jengkelkan awak dengan Zamri yang macam ni sekarang."

Apa yang aku katakan ini?

       "Hm, saya dah agak awak takkan terima kalau saya cakap macamtu kan? Saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak. Nampaknya, betullah; awak tidak pernah faham saya."

       "Ira, saya sebenarnya taknak panjangkan benda ni tapi siapa yang tak pernah nak faham siapa? Awak nampak Zamri yang dulu dan sentiasa harapkan saya masih Zamri yang dulu. Awak tak pernah dalam keadaan saya, awak takkan tau apa yang saya rasa. Dan awak takkan tau kenapa saya berubah."

Ira memandang serius ke arah muka aku. Gadis egois macam dia sudah tentu tidak mampu terima apa yang aku katakan tadi.

       "Perasaan saya kat awak dulu real. Apa yang kita lalui semuanya real. Itu pun awak masih nak salahkan saya tak faham awak? Saya ingat saya boleh percayakan awak. Saya ingat awak boleh nampak apa sebenarnya yang saya rasa; sakit, perit bagai. Namun tidak."

Keadaan menjadi senyap serentak. Ianya rawak. Tidak mungkin mereka lain yang berada di kantin mampu dengar perbualan perlahan kami. Aku hanya senyap dan tertanya, walaupun aku yang kelihatan berubah, kenapa dia yang mengaku sakit? Dia cukup kuat untuk menahan dan melepaskan segalanya? Adakah dia jujur atau tidak? Semua ini memberikan aku aku satu kata akhir.

       "So, kau ada sebab untuk pergi."

Aku bangkit dari bangku dan terus menghala ke kelas; meninggalkan dia di belakang. Kini aku tertanya, siapa sebenarnya yang pergi dari siapa? Dia atau aku? Ah, persetankan itu semua. Aku tidak mahu terikat dengan dia. Tidak mahu terikat dengan apa-apa rasa. Sebulan dua lagi, barangkali aku akan lali dengan semua ini.