Raksasa Baru.

       "Hey happy birthday sayang. I love you soooo much! Hehe nanti kita celebrate okay?"

Ianya September dan ini satu petanda yang tidak baik.

       "Well, you just tunggu surprise dari I okay? I sure you mesti terkejut punya hehe."

Tolonglah, berikan aku sedikit waktu untuk bersendiri. Aku tersangkut dalam keramaian dan awam yang sentiasa mencari tujuan dalam hidup. Aku ingin jadi diri aku buat seketika. September bakal mengunyah aku cebisan demi cebisan. Meratah aku dalam keadaan tidak terdaya; dalam keadaan sunyi yang paling sepi dan sakit yang paling perit.

Malam itu raksasa baru akan muncul.

***

       "Hey Linda! What's up! Lama tak dengar khabar. Mana kau pergi eh?"

Akmal menegur Linda yang kebetulan berada di kedai kopi yang selalu dia pergi. Dalam waktu asing begini, lewat malam menjadi rakannya untuk bersatu dan berborak sama. Linda telah lama dia perhatikan di situ. Rupa Linda persis adiknya yang dia tidak akan lupakan. Apa yang berbeza hanyalah tinggi. Adiknya lebih rendah dan memakai cermin mata.

       "Eh, Akmal?"

Ia sebenarnya bukan kebetulan. Akmal telah melihat Linda telah hadir ke kedai kopi tersebut sejak dua tahun yang lepas. Akmal yang pada ketika waktu tersebut hanya memerhati dan merenung gerak-geri Linda, cuba mengimbas segala kenangan mereka di sekolah. Walaupun mereka tidak rapat seperti dua orang rakan baik, dia masih lepak dengan Linda. Ini kerana Linda berkawan dengan Halim. Dan Halim ialah kawan Akmal.

Linda memandang rupa Akmal dan kembali mengalihkan pandangannya ke kopi atas meja.

       "Yup, kau ingat lagi tak aku? Haha rasa macam baru semalam je tak jumpa dengan kau sebab kau punya rupa tak berubah wei. Oh ya, cuma tinggi kau je yang berbeza."

Linda memandang kembali ke Akmal. Mulutnya seolah sedang memberitahu sesuatu. Ia tidak jelas bagi Akmal. Walau dalam keadaan janggal yang sedikit, Akmal cuba merapatkan wajahnya ke Linda untuk mendengar apa yang Linda cuba sampaikan. Akmal semakin dekat dan dekat dan Linda terus berbicara tanpa suara.

Cukup jarak yang diinginkan, Linda terus terbang masuk ke dalam mulut Akmal yang ternganga.

***

       "Alaaah tapi I tak suka surprisekan."

Linda memberi reaksi muka masam kepada Halim. Halim tidak terkesan.

       "Tak, kali ini I pastikan you terkejut dalam gembira. Come on! Kan dah September ni haaa. I taknak kecewakan you sayang dan sebab itu dalam masa I nak surprisekan you ni, I masih bagitahu you. See, I dah buka rahsia awal-awal! Hehe."

       "Taknak! I taknak surprise. Surprise bagi I dah tamat. i taknak hidup dalam keadaan terkejut atau menanti sesuatu dengan harapan, atau jangkaan atau apa."

Halim agak terkejut pada mulanya dengan jawapan Linda kerana ia bertukar dengan sangat cepat. Bukan hanya pada kata-kata dan makna Linda sendiri tetapi riak dan laku Linda. Linda kembali ke dirinya yang lama.

       "You, kenapa ni? Okay kita jangan cakap pasal ni lagi ya? Kalau I rasa I nak bagi apa ke, nak buatkan sesuatu untuk you apa-apa ke, I akan buat dalam keadaan yang surprise tapi tak surprise. I akan kasi hint awal untuk pastikan you tidak terlalu surprise okay?"

Linda masih bermuka masam. Apa yang berubah cuma jelingan matanya yang beralih ke arah lain. Halim hanya senyum dalam melihat reaksi Linda sebegitu rupa. Bagi Halim, Linda agak comel bila jelek dengan sesuatu atau dalam keadaan yang sangat bingung. Ianya bukan kerana Halim meraikan seronok dalam ketidak-gembira Linda tetapi ia cuma, jujur. Linda jujur bila sedih atau murung dengan Halim. Ianya sesuatu yang Linda tidak akan lakukan ke awam lain mahupun rakan rapatnya, Shaza. Linda sentiasa senyum dan gelak. Halim merasakan jika dia mampu menimbang berat rasa Linda, sudah tentu mesin timbang akan berat bukan kerana senyum atau gelaknya yang selalu tetapi setiap jisim rasa sedih maya Linda yang dia sentiasa simpan dan manipulasi dari satu bentuk yang bergelora ke sesuatu yang diam dan teratur. Linda perempuan yang paling kuat bagi Halim. Dan perempuan yang kuat hanya untuk lelaki yang kuat.

       "Aku akan sentiasa menjadi kuat demi Linda."

Halim berbisik ke dalam hatinya lalu mendekatkan diri untuk memberi kucupan memujuk Linda yang sedang bermuka masam itu tadi. Seperti biasa, Linda membalas dengan baik dan mendekatkan mulutnya yang sediikit terbuka dan mata tertutup mendekati Halim. Ia penuh rasa takut dan selamat bagi Linda. Rasa mereka bukan sesuatu yang kita mampu nilai dan hukum.

Dan cukup jarak yang diinginkan, Halim terus terbang masuk ke dalam mulut Linda yang sedikit terbuka itu tadi.

***

September bakal mengunyah aku cebisan demi cebisan. Meratah aku dalam keadaan tidak terdaya; dalam keadaan sunyi yang paling sepi dan sakit yang paling perit.

Malam itu raksasa baru akan muncul.