Rahsia di sebalik almari rahsia.

Dalam almari tersebut tersimpan satu rahsia yang sangat bernilai. Ianya satu rahsia yang bakal mengubah perspektif manusia untuk mengukur kembali kemanusiaan yang sangat bingung. Dalam mencari erti itu dan ini, falsafah berlawanan sesama sendiri, rahsia tersebut terus kekal di dalam almari dan dijaga oleh Rus. Rus  tidak dicipta dengan emosi dan nafsu. Dia dicipta neutral untuk kekal neutral. Tahap sifar. Walaupun dia tidak punya emosi, dia tahu untuk kekal bertugas demi menjaga almari tersebut dari capaian orang lain. Dia taat kepada Bos yang sentiasa melihat dia dari jauh, yang tahu setiap tingkah lakunya walaupun tidak memandang.

       "Aku dicipta untuk menjaga rahsia ini kerana kata Bos, aku dimuliakan atas tugas aku ini. Jika aku mengkhianati Bos, aku tidak punya sebab untuk wujud."

       "Oh ya?"

Helmi datang menegur Rus secara tiba-tiba. Rus terpaku melihat ada seorang manusia yang mampu sampai ke ruang terletaknya almari tersebut.

       "Bagaimana kau boleh ada di sini? Ini dimensi lain dan kau tidak patut ceroboh ke sini!"

       "Aku muncul di sini sama seperti kau, sebab. Aku ditugaskan ke sini untuk membantu rungkaikan segala masalah kemanusiaan yang bergolak di muka bumi. Dan kini sudah tiba masa kau berikan aku kunci untuk membuka almari tersebut."

Rus hanya bermuka lurus dan menentang dalam keadaan yang tenang. Dia tidak punya emosi untuk marah atau bengang atau apa. Dia tahu apa yang dia perlu lakukan; menjaga rahsia tersebut.

       "Jadi? Mana kuncinya?

       "Tidak. Aku tidak boleh beri kunci tersebut kepada kau. Ianya rahsia dan perlu kekal rahsia."

Helmi bengang dengan kata Rus lalu menyepak kuat batu kecil yang terdapat di lantai ruang tersebut. Batu itu kemudian terbang dalam kelajuan yang perlahan dan menjadi besar sedikit demi sedikit bagi setiap jarak yang dilaluinya, menghala ke almari tersebut.

Pintu almari terbuka dan seluruh rahsia keluar mencari-cari tuan masing-masing. Ada yang terus kekal di dalam almari sambil menangis dan ada yang menyorok di sebalik celahan kecil almari tersebut. Helmi hairan, sepatutnya almari itu berkunci tetapi ia terbuka dengan mudah apabila batu tersebut kena tepat ke almari itu.

       "Almari tersebut tidak pernah berkunci?"

Rus hanya diam dan bermuka lurus. Dia tidak gelisah atau apa. Dia hanya mampu melihat dan menunggu. Menunggu dirinya untuk hilang, kerana dia percaya tugasnya telah gagal. Dan dia perlu pergi.

       "Kenapa aku masih di sini? Sedangkan rahsia tersebut telah keluar dan terdedah?"

       "Kerana ia bukan kau yang dicipta untuk menjaga rahsia itu, tetapi rahsia itu sendiri."

Rus bingung dan bermuka lurus.

       "Sekiranya rahsia itu wujud, tidak akan ada perkataan mengertikan rahsia itu sendiri. Ia disebut rahsia kerana ia masih wujud. Rahsia hakiki ialah rahsia yang tidak diwujudkan."

       "Tidak. Bos tidak pernah berkata begitu. Dia kata rahsia ini hanya disimpan kerana ia sendiri wujud dan tidak boleh dicapai oleh orang lain. Bos tahu rahsia ini kerana dia yang mencipta rahsia."

Helmi tidak endah lantas berlari-lari menangkap semua rahsia yang terbang itu tadi dengan menggunakan jala mikroskopik yang disimpan molek di dalam kocek seluarnya. Ia agak sukar kerana rahsia itu berterbangan secara rawak dan setiap jarak yang mereka lalu untuk terbang, rahsia akan menjadi besar dan besar.

       "Bila aku selesai menangkap semua rahsia ini, kita akan kembali ke almari. Kau, aku dan rahsia ini semua perlu tinggal terkurung di dalam almari. Dan waktu itu rahsia akan menjadi rahsia."

       "Bagaimana dengan Bos?"

Helmi berhenti seketika dan melihat Rus dalam keadaan yang teruja. Ini yang dia nantikan dari tadi untuk keluar dari Rus. Soalan yang membawa kembali kepada kewujudan rahsia yang tidak rahsia itu.

       "Ini soalan yang tepat, rakan. Percayalah, bila kita semua sudah terkurung di dalam almari, Bos akan hilang. Kembali untuk menjadi tidak wujud kembali. Rahsia, aku, kau, Bos, semua akan kembali ke asal. Kita semua akan tidak wujud."

       "Tetapi kenapa?"

Rus tidak puas hati dan bermuka lurus.

       "Kerana dengan adanya rahsia itu sendiri, sama ada ia disembunyi atau terdedah, ianya sendiri meletakkan kemanusiaan di tahap yang paling bingung."