Perubahan dan masa.

       "Oh sekarang kau nak makan pulak? Tadi taknak!"

Rina memandang tepat ke arah Hisham dengan mata yang jelek.

       "Biarlah, dah kau yang suruh aku teman. Suka hatilah aku nak makan ke tak. Bukan kau yang bayar pun."

Hisham tidak sangka gurauannya diambil secara serius. Lalu dia pergi ke kaunter dan membayar semua bil Rina. Dalam dirinya yang suka menjelekkan orang, dia tidak suka orang terasa dengan dia kerana dia tahu sikapnya yang suka menjadikan sesuatu gurauan itu sebagai bahan lawak kadang-kadang tidak kena masa dan tempat. Dia tahu, tetapi dia tidak boleh kawal.

Rina hanya senyap dan menikmati makanannya dalam diam. Dia sedar sikap Hisham dan walaupun sedikit terasa dengannya tetapi Hisham adalah kawannya. Atau lebih tepat, Rina adalah kawan Hisham yang masih lagi setia untuk mendengar segala perkara mengenai hidup Hisham. Rina faham kenapa Hisham menjadi sebegitu rupa dan dalam yang sama, Rina tidak rasa Hisham akan berubah selagi dia tidak melupakan segala perkara silamnya itu.

       "Hisham, kau kena pilih. Pilih untuk tidak terikat dengan benda silam kau."

       "Apa dia?"

       "Maksud aku, inilah masanya. Benda dah sangat lama Hisham dan kau masih Hisham yang sama sejak hari tu. Kau tak rasa ini bukan diri kau ke?"

Hisham senyap dan memandang pinggan Rina.

       "Masa akan mengubahnya Rina."

Rina tidak terkesan dengan jawapan Hisham. Dia rasa Hisham tidak faham betapa serius keadaan boleh terjadi. Rina mula teringat akan Zahir, rakan lamanya.

       "Masa."

Hisham memandang muka Rina kembali.

       "Masa tu hanya konsep, Hisham. Macam mana ia bergerak sekata pun, ia masih tidak punya erti yang hakiki. Aku ada kawan nama Zahir dulu. Dia macam kau jugak, kawan rapat perempuannya meninggal dalam kemalangan yang agak teruk dan sejak dari itu dia hanya diam dan bagi alasan sama macam kau bagi; masa."

       "Jadi? Benda betulkan. Masa akan berlalu dan semua akan berubah. Apa yang kita nak takut sangat? Aku tak takut sebab aku tahu suatu hari nanti aku akan berubah juga."

Hisham senyum sedikit. Rina tafsirkan ia sebuah senyuman paksa.

       "Zahir dan aku agak rapat dalam lima tahun sebelum dia sendiri tamatkan hidupnya. Orang lain anggap ia kerja bodoh, bunuh diri. Tapi aku yang faham keadaannya, ia macam suatu tekanan sendiri buat Zahir. Mereka tak pernah fikirkan tu, mereka cuma senyum dan suruh dia untuk kuat bagai. Dalam dia ada ribut taufan dan orang luar hanya kasi payung untuk dia redah taufan tersebut. Kata semangat tidak semestinya memberi semangat. Mereka rasa ianya bijak, tapi bagi Zahir dia rasa kata semangat tu bodoh."

       "Apa maksud kau ni Rina? Aku nak bunuh diri macam Zahir? Tak masuk akal langsung."

       "Soal masa tadi sebenarnya. Konsep. Kita cakap pasal masa akan mengubati tetapi kau sedar tak, dalam aku tengok kau dari dulu semenjak peristiwa tu, kau masih sama je. Tak ada perubahan."

       "Mungkin konsep masa itu tadi. Bagi aku masa itu lambat. So sabar jelah dan tunggu."

Hisham sangka dia telah tamatkan segalanya dengan jawapannya. Dia mengangkat telefon bimbitnya dari meja, dan fokus ke arah telefonnya; tanda untuk tidak kisah dengan perbualan tersebut.

Rina memandang meja dengan wajah sedikit murung.

       "Kali terakhir Zahir cakap dengan aku yang dia punya masa tak lambat atau berhenti. Masa dia berpatah balik. Pusing ke kejadian sebelum. Dia sendiri kata dengan aku dia nampak rakannya tersebut setiap hari dan berbual dengannya bagai. Aku cuma takut kau jadi macam dia; bukannya silam yang menghantui kau tapi kau yang menghantui silam tersebut."