Kritik dalam kritik.

Selama aku merewang bosan di dalam ruang internet ini, aku sentiasa meneroka hal-hal yang berkaitan dengan apa yang aku minat, atau yang aku tidak minat tetapi menarik. Dalam masa yang sama, aku melihat mereka raksasa intelektual meneroka ruang yang dalam-sedalamnya dan meninggalkan kesan this monster was here di setiap ceruk ruang sosial maya.

 Aku membaca kritikan di Goodreads yang mana masing-masing mengutarakan pendapat mereka sendiri. Ada yang hangat, ada yang suam dan ada yang dingin. Aku tidak mahu ambil port mulanya tetapi satu ini menarik, soal buku fiksyen yang terlalu berat dengan falsafah dan dikupas penuh dalam gaya narratif atau dialog watak (tidak berupa simbolik perbuatan atau rupa sekitar) maka ia akan menjadi buku yang meresahkan dan membimbangkan pembaca.

Aku meletakkan buku dan kandungan dalamnya kepada dua orang bertanggungjawab ini; penulis dan pembaca. Penulis menulis buku untuk dibaca dan jika ia diterbitkan untuk komersial maka ia perlulah bermutu. Buku picisan atau alternatif yang terikat dengan nafas kontemporari macam mana pun, ia perlu bermutu kerana ia dijual. Beb, orang percaya kita dengan duit kot. Dan si pembaca yang mengeluh kemudian akan berkata alahai buku ini tah pape, ceritanya meleret dan memanjang dan penuh idea, isme, falsampah yang menggelabah karat dan tak kukuh.

Si penulis A memang tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Maka untuk menjadi selamat, si A akan anggap semua yang bakal membaca bukunya adalah mereka yang tidak tahu dan kosong. Ini secara umum. Seperti dalam pemasaran, ia adalah istilah target user atau sasaran pengguna. Bukan dalam pemasaran, di dalam senibina sendiri, semasa dalam proses awal reka, pereka akan menilai dan sasaran pengguna tersebut. Maknanya dalam rekaan perumahan, ia akan ada kategori mereka yang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Ini semua kerana untuk memberi perhatian setiap perinci kegunaan dan keinginan pengguna tersebut. Seperti A, dia meletakkan sasaran umum; untuk mereka yang tidak tahu dan kosong. Jadi dia yang ingin menyampaikan idea, isme atau falsampahnya akan memilih cara penceritaan penuh dan hurai sekali gus. Ini sememangnya tidak begitu bagus tetapi effektif untuk jujur dan terus-terang apa, kenapa dan bagaimana.

Devaraja sedang makan dan melihat mee maggienya dalam keadaan panas. Akal dia kemudian memikirkan sesuatu dari aksi mee maggie panasnya yang mengeluarkan asap panas. Seperti manusia yang menjadi hangat dengan nafsu amarah mereka, jiwa mereka akan keluar sedikit demi sedikit. Asap tersebut ialah jiwa mereka dan semakin lama jiwa mereka keluar, hangat mereka menjadi kurang dan ia menjadi tidak sedap di makan; manusia menjadi tidak menarik dan barangkali menjengkelkan. Egois. Itu apa yang menjadi masalah mee maggie tersebut, dia tidak suka dengan keadaan sejuk di sekitarnya dan kemudian dia keluarkan asap-asap panas itu tadi untuk melawan suhu normal sekitarnya.

Jadi ini adalah penceritaan bagaimana Devaraja melihat maggie dan kemudian dia terfikir sesuatu idea dan semuanya dijelaskan dalam satu penceritaan terus-terang. Bagi mereka yang tidak tahu dan kosong, mereka mampu menarik semua ini sekali nafas dan cepat namun bagi mereka yang sudah mahir selok belok penceritaan dan akal yang melimpah ruah dengan bijak masing-masing, mereka menganggap ini sangat meresahkan. Soal pandangan dan perspektif pula.

Ada yang resah kerana mereka tidak rasa asap tersebut keluar kerana maggie panas itu egois atau apa. Sedangkan asap tersebut keluar kerana maggie panas tersebut sedang menerima suhu bilik di sekelilingnya dan cuba menjadi sebati dengannya. Ini sendiri dah menyangkal sikap egois maggie panas itu tadi.

Soal idea, isme dalam bentuk simbolik perilaku atau sifat atau berkait latar sesebuah cerita menjadi pilihan bagi mereka yang bijak ini untuk diterjemahkan. Ini soal simbolik dalam yang perlu penulisan bermutu oleh si penulis dan ini aku tidak nafikan, aku sendiri kurang mahir dalam menulis begini. Namun simbolik penuh tentang sesuatu barangkali akan membuatkan pembaca yang tidak tahu, kosong ini tadi menjadi semakin tidak tahu  dan kosong dan barangkali terasa diri sendiri bodoh atau diperbodohkan.

Senang cerita, dalam penulisan ada garis selamat. Dan ia dalam menjadi tidak terlalu pandai dan tidak terlalu bodoh. Jika garis ini dilanggar, itu yang bakal fiksyen jadi fantasi dan sebaliknya tersebut bagi pembaca.

p/s: aku rasa yang menjadi masalah apabila penulis meletak fiksyennya macam khutbah atau ceramah falsampah atau idea ini secara meleret, secara bukan main banyak tanpa melihat kuat lemah penceritaan tersebut. narratif, dialog idea memanjang pun jadi berat. ha, yang ni memang patut kena hukum.