Ketika mimpi.




Jiwa yang murung menjadi jahitan ulung, mencantum kembali serpihan kota mimpi yang berhantu ini menjadi lebih teguh dengan cerdiknya si musafir. Kebiasaannya, mereka yang datang mengembara di sini tidak akan pulang — semuanya lesap dalam mencari mimpi sendiri. Ada yang seronok meraikan dadah fantasi yang sentiasa mereka sematkan di dalam akal 'bagaimana-jika' mereka dan ada yang hilang kerana tidak terdaya meneruskan perjalanan. Namun golongan tersebut tidak menyedihkan seperti yang satu ini; sesat kerana inginkan sesat dan tidak mahu kembali walaupun mimpi itu tidak wujud.

Dewa yang menjaga kota tersebut pernah berbicara tentang hal ini kepada tuhan. Mereka tidak patut jadi begini, seharusnya kota mimpi ini terus dihapuskan kerana mereka yang dewasa tidak mampu meneroka ceruknya. Tuhan tidak berkata apa kerana dia tahu ini bukan salah dia. Dia hanya mencipta satu bekas untuk diguna. Bagaimana keadaan bekas tersebut sama ada akan pecah atau terus terpelihara elok adalah bukan dari kuasanya. Barangkali nafsu mereka si musafir ini yang meletakkan jiwa mereka tadi bebas merewang dalam kota ini. Lihat sahaja keadaan yang teruk begini, hanya jiwa murung yang merayakan setiap lorong dan padang-padang di kota ini. Jiwa yang gembira? Mereka sama ada pernah sampai dan jumpa mimpi mereka atau mereka masih tidak ketemu mimpi paling unggul mereka.

Tuhan mempersoalkan kembali Dewa tentang keprihatinannya terhadap musafir ini — kenapa?

Lalu Dewa menjawab, "Mereka gelakkan mimpi aku. Sedangkan aku mimpikan gelak mereka."