Batas Ruang Laila dan Riduan.

       "Ketika kau cintakan aku, di mana aku berada dalam mimpi kau?"

Laila terkedu apabila Riduan melepaskan kata terakhir persis menerima takdir yang tercipta antara mereka. Dia tidak tahu sama ada ini adalah soalan yang Riduan sudah tahu jawapannya atau pertanyaan yang tidak jelas bagi Riduan.

       "Apa yang kau maksudkan Riduan? Sudah pasti kau berada di tempat paling tinggi dan megah. Ketika itu aku melihat kau dengan kagum dan sentiasa memuja kau. Bagi aku, kaulah yang akan mempertahankan aku, kaulah yang akan membantu aku dan kaulah yang paling sempurna."

Riduan senyum dan berpaling sedikit demi sedikit. Walaupun hati Riduan tidak membenarkannya, dia tahu bahawa ini adalah keputusan Laila. Laila ingin pergi dan tidak ada sedikit pun yang mampu melawan akal Laila yang sedikit berpasak dengan emosinya sendiri. Riduan sedar kehadirannya sebagai seorang yang asing akan tetap menjadi asing kerana itulah hukumnya, harga yang perlu dibayar apabila cuba melangkau perasaan kasih atau sayang atau cinta ini.

       "Riduan, kau tetap berada di atas mimpi aku walaupun kita tidak bersama. Aku akan sentiasa melihat kau."

Riduan berhenti dalam langkah perlahannya. Berat bagi dia untuk menoleh dan melihat Laila kembali. Ia kerana sesuatu tetapi bukan kerana benci.

       "Ketika kau meletakkan aku di tempat yang teratas, hakikat tetap membawa aku untuk sentiasa berada di bawah. Mimpi kau tersebut satu penipuan. Ia telah membuatkan kau menyangka aku untuk sentiasa hebat dan sempurna. Aku tidak hebat apatah lagi sempurna. Kau tidak melihat aku kerana aku. Kau melihat aku kerana jiwa kau inginkan aku dlihat begitu. Malang, kelemahan aku sangat banyak sehinggakan setiap satu kesilapan bakal merobohkan mimpi kau Laila."

Riduan menyambung langkah perlahannya untuk pergi jauh dari Laila.

       "Kerana sekiranya kau betul cintakan aku, kau tidak akan bermimpi tentang aku."