Pasca-memori, pra-realiti.


"Kenapa kita dicabar untuk mencipta dan mereka? Idea itu bebas dan tuhan itu tadi hanya akan menentang. Kritikan? Hey, wahai tuhan reka, idea itu subjektif dan bebas! Kau takkan faham mereka dan mereka takkan mampu terima kau begitu saja. Setiap idea reka datang bersama intipati egois dan semangat. Dan tuhan ini, mahu cabar ego mereka? Gila! Kenapa mereka perlu tersangkut dalam dunia idea ini? Dalam agama kreatif ini? Kreatif tetapi punya arah dan mahzab idea yang ketat. Dan setiap idea mereka, tuhan reka ini akan cantas! Mungkin, mungkin mereka perlu keluar. Murtad dari agama seni berperaturan ketat sebegini."

Aku cukup bersyukur apabila persembahan terakhir (mungkin) kami di sem 8 ini menjadi dengan sungguh baik. Aspek persembahan yang agak lancar, dari skrip gelap ke dansa hibur dan simbol makna, gimik permainan api, latar lagu yang kena, muzik akustik dan montaj sentimental akhir persembahan. Semua berlaku dalam satu malam yang kami rasakan ia agak emosi dan tetap cool kerana kami rasa ia tugas senior untuk sentiasa cool he he. Apa yang kami mampu buat, itu yang kami beri pada waktu terakhir ini.

Oleh kerana aku tidak berapa menyumbang dalam archifest rentas kali ini, aku hanya ingin mengucapkan syukur lagi sekali atas peluang skrip aku untuk diterjemah menjadi salah satu slot naratif dalam persembahan. Aku tidak buat kerana perlu buat atau demi lepaskan tugas sebagai ahli studio yang terdesak ingin menyumbang dalam archifest. Ayat-ayat dalam skrip tersebut aku letak berat yang tinggi (walaupun telah disunting bagi memendekkan masa persembahan), dan aku harap ada di antara mereka yang menonton mampu terkesan dengan apa yang mereka dengar dari suara awek yang berjaya (bagi aku) membawa tugas sebagai narator tersebut. Dan peribadi, walaupun aku tulis ia dalam keadaan endah tak endah dan nak cepat siap, aku tidak rasa ia remeh seperti beberapa cerpen dan kispen yang pernah aku tulis. Bukan sekadar untuk masuk dengan persembahan jatuh dan naik sebagai pelajar senibina tersebut. Aku anggap ia serius.

Idea aku satu; macam struktur kebiasaan lagu, penceritaan itu verse dan persembahan itu chorus.

Terima kasih buat semua yang menghargai dan terima kasih buat rakan, keluarga studio Kreinova.

Tak tahu kenapa tapi dalam melihat koleksi gambar studio yang lama, ini yang paling terkesan buat aku.