KEMPEN; come on sila berhenti.

Ya Rabbi! Ini dillema terakhir. Untuk berada dalam keadaan bersendiri seperti ini memerlukan kekuatan, kecekalan dan kekerasan minda untuk menentang emosi. Maka aku katakan tidak mengapa, mungkin akan datang waktu aku dibakar hidup-hidup dan diratah dengan selamba oleh mereka dan ketika itu aku akan hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya aku akan padam. Dibiarkan begitu sambil disaksikan awam dalam keadaan paling seksa aku, dipijak teruk-teruk sebelum aku mereput kembali ke tanah. Sebenarnya, aku tidak suka berkurung sendiri begini kerana memori hayat aku meletakkan kembali momen aku bersama rakan-rakan tercinta. Aku begitu sayangkan mereka sehingga aku merasakan setiap dari kami sama wajah, rupa dan lain-lain perinci kecil. Mungkin kerana sayang itu juga menyebabkan setiap dari kami menerima nasib yang sama oh-em-gee!

Dan terasa sangat hina bila raksasa-raksasa ini berkata hmm saya nak yang kaki, atau saya nak bayi tu lah! Atau saya nak yang tekak tu, nak buat koleksi bebeh.

Namun begitu, doa merupakan senjata bukan? Maka aku berdoa untuk aku dibakar lebih cepat. Kerana berkurung maksudnya menanti. Dan penantian itu suatu seksaan. SEKSAAN. Itu yang aku harapkan kepada raksasa tersebut, mati dan seksa dalam keadaan kanser pundi kencing, kanser perut, kanser usus dan rahim, kanser mulut, kanser esofagus, kanser tekak, kanser pankrias, kanser payudara, kanser paru-paru, penyakit saluran pernafasan kronik, strok, kereputan tulang (osteoporosis), penyakit jantung, kemandulan, putus haid awal, melahirkan bayi yang cacat, keguguran bayi, mati pucuk, bronkitis, batuk, penyakit ulser peptik.

Dan ini kisah aku dan sembilan belas rakan aku dalam satu pek.

Idea;

— Minah cun yang dillema nak cuba ke Winston Pek baru dari Marlboro Menthol di 7E
— Pak Cik layan Surya lama dalam tandas awam sementara orang kat luar tunggu penuh seksa.