Albert untuk Fida, untuk Effa.



Effa senyum sinis apabila dia berjaya menyembunyikan pen Fida. Harapan Effa supaya benda tersebut melakukan segala seksaannya terhadap Fida, kerana Fida tidak laksanakan tugasnya. Dan waktu itu Effa hanya perlu datang dan kutip dan bersinar.

***

Ketika Fida menemui rahsia kejayaannya yang kini disorok molek dalam mindanya, dia tidak berapa percaya dengan perjanjian tersebut. Dalam menjadi pelajar yang boleh tahan mediocre dalam kelas reka, dia tersengguk-sengguk mendengar syarahan pensyarah, duduk tersipu dan berlagak sabar ala pelajar yang kurang tahu ketika sesi crit* dan dalam sekelip mata dia hilang untuk mencari intipati untuk apa yang dia mahu dan dia perlu.

***

Dalam masa depan, dia menampal keseluruhannya hasil kerjanya yang dahsyat dan menjadi punca cemburu untuk mereka dewa dewi A dalam reka. Menjeling hasil kerja Fida dan berkata belakang, Fida tidak pernah endah akan tersebut. Bagi Fida, ianya satu kejayaan yang memberikan kepuasaan maksimum seperti berjaya mengambil alih kuasa lelaki di ranjang. Setiap satu cemburu, Fida akan peroleh satu point menambah kuasanya. Dan dewa dewi di studionya ada dalam 13 orang, maka point yang dia peroleh secara purata barangkali ialah 10 point - tolak 3 orang yang dua daripadanya tidak datang crit kerana rasa terlalu hebat untuk benda alah crit bagai dan seorang lagi yang tidak ambil kisah dengan hasil kerja yang lain. Fida sedar jika dia mampu pertahankan semua ini maka ketika final submission dia bakal menjadi dewi reka yang baru. Atau tidak, dia barangkali bakal jadi tuhan reka!

***

Ketika dalam mimpi yang dia kabur dari mana permulaannya, dia telah mendapat wahyu oleh minda tidak sedarnya untuk pergi bertemu dengan saka reka yang menyorok di dalam buku conteng Albert, salah seorang daripada pensyarahnya. Minda tidak sedar menunjukkan bagaimana saka reka tersebut beralih tuan dan kini dia perlu menjadi tuan kepada saka tersebut seterusnya. Dalam minda sedar dia, mimpi tersebut bertukar dimensi dan mengunjurkan bagaimana babak dia dalam mengambil buku conteng Albert dalam kelas. Albert bukan sebarang pensyarah, dia merupakan seorang pengkritik yang dahsyat dan pembunuh idea yang pro dan kejam. Dalam mimpi, Fida tidak mampu bertarung dengan Albert untuk mencuri saka tersebut. Semuanya berlaku seperti apa yang minda Fida unjur. Satu persatu. Minda tidak sedar Fida inginkan saka reka dan minda sedarnya memberi ingatan akan kekuatan Albert. Dalam 4 jam Fida tidur dan mimpi, Rohaimi mengejutkannya dari cubicle tempat dia bekerja dan Fida membuat keputusan, dia perlu dapatkan saka tersebut dengan bersungguh; dia perlu bunuh Albert.

***

Rancangan Fida untuk membunuh pensyarahnya sendiri melalui proses yang panjang. Seperti dalam reka, fida memulakan pembunuhan dengan draf dan idea yang dia susun rapi. Dia namakan projek membunuh Albert dan mendapatkan saka reka tesebut sebagai Projek Pereka-Super!. Kliennya adalah dirinya. Dan dia mula membuat buih-buih zoning untuk memperinci segala tugas dan langkahnya. Dari kiraan masa Albert akan datang dan lepak di biliknya, sehingga dia ke kelas, semua Fida letak dia dalam zon-zon yang berikut. Fida mendapat idea sekiranya dia mahukan semua ini menjadi lancar, dia perlukan konsep. Konsep pembunuhan — JUJUR. Idea merasakan dalam pembunuhan yang jujur, dia mampu menjadikan cerita bunuh dan motif yang sangat mudah dan terus-terang. Dan dia merasakan jika semuanya berlaku selari dengan perspektif sesiapa pun yang mnyiasat, ia akan jadi tidak munasabah dan selalunya penyiasat jenayah pembunuhan akan cari motif yang lebih kompleks dan meyakinkan. Untuk dibunuh demi buku conteng yang tidak ada apa-apa bagi mereka, ia tidak munasabah. Dan jika si penyiasat merasakan buku conteng tersebut adalah sangat penting, pembunuhan yang kejam begitu tidak masuk akal sedangkan Albert hanya akan meletakkan buku contengnya di dalam bilik dan biarkan biliknya terbuka ketika dia pergi tandas, atau pergi makan atau pergi kelas. Fida tidak boleh mencuri buku conteng tersebut dan mengambil saka itu kerana saka tersebut tidak akan bertuankan dua orang sekali gus. Ini yang dinyatakan dalam mimpi Fida. Jadi pembunuhan Albert sangat penting. Semua perlu jujur dan terus-terang.

***

Fida membentangkan idea rekanya yang mengkagumkan semua pihak. Mereka pensyarah yang hadir ke sesi crit tersebut senyum dan ada antara mereka cuba mempersoalkan rekaan Fida tetapi mereka tidak punya serangan yang kukuh. Dalam senafas, Fida mampu mematahkan segala kritikan mereka dengan muka pokernya. Ia simbol Fida untuk kritikan mereka itu lame dan bosan. Ada antara mereka yang kecewa kerana tidak mampu mengkritik rekaan Fida dan keluar dan merokok di dalam tandas dalam kuantiti batang yang banyak. Ada antara mereka yang bangga dengan Fida dan merasakan Fida perlu diculik dan dikurung dalam sangkar supaya dia mampu menjadi perantis mereka, atau paling kurang Fida mampu mengaku mereka adalah mentor dia. Ada antara mereka yang ingin memberi slot kerjaya ke Fida di dalam firma senibina mereka. Dalam antara mereka semua, ada seorang yang tidak hadir. Dan kita tahu, is sudah tentu Albert, yang mana pennya berada di tangan Fida.

***

Ketika Fida mula membuka dan membuat kontrak dengan saka tersebut, segala janji dan perinci ikatan semua telah dinyatakan dengan jelas. Satu-persatu ditulis rapi di dalam helaian 6 dari belakang kertas dan semuanya senang untuk Fida laksanakan, seperti sentiasa berjaga-jaga ketika bersama buku tersebut, menulis namanya di dalam helaian awal buku, dan sentiasa menconteng, melakar atau menulis di dalam buku tersebut setiap hari dengan menggunakan pen mantan tuannya. Dan jika salah satu terabai atau dilanggar; saka reka akan menyumbat segala soalan reka ke dalam minda Fida seperti segala meja, kerusi, lampu, air-cond yang berada di studio semua berpusu untuk masuk menghentam ke otaknya dan Fida akan mati kaku dalam serabut reka yang macam celaka.

*crit : sesi kritik idea. pelajar membentangkan hasil kerja dan para pensyarah/pengkritik akan menilai.

Idea;

— Susuk, Naeim Ghalili
— Collison Cause, Custom Daisy