Kasih Mentah yang Terlarang

Mereka mula berlari-lari dan mengejar sesuatu yang berada di hadapan tetapi tidak ada di hadapan ketika itu. Milah dan Ramdan memandang sama sendiri. Ramdan muka cool, muka budak pakai earphone dan jalan sorang-sorang di Sungei Wang dan Milah muka cemas, muka gadis bangun pagi memilih baju ke kelas dan masing-masing berbicara. Milah cakap sekiranya mereka sampai ke situ mereka harus ambil dan lari secepat mungkin. Ramdan cool. Ramdan kata baik saya setuju dengan idea awak kerana awaklah sayang saya, saya cinta awak. Dan mereka berlari ke ladang gandum dan ladang strawberi dan merentas banjaran Titiwangsa melompat riang dari Tanah Tinggi Cameron ke Tanah Tinggi Genting dan lepak sebentar memandang pemandangan di Bukit Fraser sebelum kembali terbang ke Gunung Korbu. Tiga langkah dan lapan lompatan sehingga mereka sampai dan mereka bertemu buah larangan dan curi dan pergi. Nyata mereka kantoi apabila si penanam pokok buah tersebut perasan dan membaling lembing ajaibnya dan tepat ke Ramdan. Ramdan hampir mati tapi Ramdan ada sihir untuk hidup kembali. Ramdan tahu mereka tidak sempat lari kerana penanam melepaskan beberapa serigala liar yang terlatih untuk mengejar mereka yang hanya 13 depa dari kedudukan asal penanam. Ramdan kena buat sesuatu. Ramdan jumpa batu yang punya bucu tajam menghentak kepala Milah dengan kuat dan Milah tersungkur, buah tadi bergolek ke kaki Ramdan. Ramdan mengunyah sedikit daripada buah larangan tersebut dan bercumbu romantis dengan Milah, menghulurkan kunyahan buah tersebut ke Milah. Milah hamil, Milah mengidam. Hajat Milah tercapai tetapi dia bingung dengan tindakan Ramdan yang menyakitinya. Kenapa awak lakukan ini kalau kita boleh makan dengan riang bersama kelak, merayakan kebebasan kita berdua sekali. Lalu Ramdan kata ianya tidak ada perayaan atau kebebasan dan saya terpaksa melakukan ini kerana saya tidak mahu kamu terseksa menghampiri ajal disiat oleh taring-taring serigala tersebut. Serigala sudah hampir 5 depa dengan kedudukan mereka. Milah tersenyum sweet, inilah dia cinta yang abadi fantasinya. Dapat makan buah larangan, dapat bercumbu romantis dan dapat rasa dirinya penting apabila Ramdan menyatakan niat hentakan maut awalnya tadi. Milah bahagia dan mati di situ. Serigala 2 depa dan Ramdan pergi ke arah mereka dan berkata lek, aku ingin jumpa tuan kalian dan Ramdan pergi dan Ramdan pulangkan balik buah tersebut dan bilang buah punya biji benih, boleh je tanam balik tidak ada masalah, Dan penanam itu merasakan ya tak ya logik juga dan melepaskan Ramdan dengan mengatakan kau sudah bebas. Ramdan bertukar bentuk menjadi serigala dan berlari ke arah Milah kembali dan memakan isi-isi, kulit-kulit Milah. Menyedari dia bukan seekor dubuk yang memakan bangkai maka dia mula jijik dan pergi dari situ. Meninggal sekuntum bunga cantik sebagai prop meraikan kesedihan kematian Milah.


idea;

— Postcard - Furniture
— Bingung Amirul dan Serabut Ramlah, x
— The Truth, Assassins Creed 2, Ubisoft