Cermin

Pagi bandar, penggerak tidur kami hanya serpihan bunyi garau kenderaan lain berserta teriak tengkar jiran sebelah. Dengar cerita sudah 7 bulan mereka bersama atas penentuan jodoh kedua ibu bapa mereka. Mereka tidak tenang, tidak cuba untuk tenang. Kali terakhir kami terdengar perbualan emosi mereka ketika kami menghendap melalui dinding pemisah antara rumah kami dan dia. Kami pernah tonton cerita spy yang boleh tahan bagus. Seperti di dalam cerita itu, kami gunakan cawan plastik dan tekap elok ke atas dinding, yang mana kami rasa di situ merupakan poin tengah di bilik mereka. Macam mana kami tahu? Ia layout asas bagi rumah teres, rekanya bermirror atau berbalik-balik dari satu unit ke satu unit dalam baris yang sama. Maknanya kalau tangga rumah kami di sebelah kiri, maka tangga di rumah pasangan tidak tenang ini pula berada di sebelah kanan.

Ini apa yang kami dengar. Kami, bukan saya. Maknanya kami secara jamak telah menekap cawan plastik ke atas dinding bersama-sama dan mendengar. Setiap dari kami kemudian akan menganalisis setiap kata mereka, membentuk halaqah dan membuat kesimpulan akhir sebelum masing-masing tidur. Ia bukan satu perlakuan hendap atau psiko, ia hanya minat yang kami sedari kami kongsi bersama. Macam dalam filem Following, Bill gemar mengikut satu individu secara rawak kerana suka-suka, atau mungkin si penulis seperti dia perlukan idea pencetus, inspirasi. Maka kami juga begitu (kami bukan penulis), kami suka mendengar. Dan ianya bukan kerana kami menjaga tepi kain orang. Kami dengar untuk dapat ketenangan jiwa. Ia macam dadah,  kesan selepasnya adalah dengan perlakuan tekap cawan plastik dan sedut segala bunyi dan maklumat, walhal dadah pula diambil dan serap ke dalam badan macam makan atau hisap atau cucuk.

Ini apa yang kami dengar. Mereka tidak mampu punya zuriat. Kata si abang, kita tidak akan tidur bersama kerana kau bukan cinta aku yang sebenar kau bukan princess beauty aku. Si sayang pula melawan alah abang cakap macamtu pun nak buat macam mana, kita dah dijodohkan pun dan saya rasa abang takut sebab abang mandul. Mereka berdua asyik bergaduh dan gaduh dan gaduh. Senyap hanya ketika bila salah satu mereka di rumah. Si abang keluar untuk bershisha bersama rakannya (yang mana kami terserempak secara jauh di mamak), dan si sayang keluar bersama rakan lain menaiki kereta mewah yang kami kagum. Nyata kawan mereka semua adalah sama jantina dan kenapa mereka tidak curang sesama sendiri? Pergilah keluar bersama pasangan cinta masing-masing sebelum. Paling kurang ianya rasional bagi kami yang tersangkut dalam nyata mereka. Kami perlukan kesimpulan sebelum kami  masing-masing mampu tidur tenang kembali. Ini sudah masuk 3 bulan dan 2 minggu kami tidak mampu tidur tenang.

Kami menjadi terseksa dengan keadaan sebegini dan akhirnya ketika mereka berdua keluar berasing kami mengambil keputusan untuk masuk ke rumah mereka. Kami bukan pencuri, kami hanya mahu masuk dan melihat sekitar hidup mereka, apa barang peribadi masing-masing mereka yang penting, mungkin tidak diamati oleh mereka berdua. Mereka mampu kahwin, ini bertanda mereka telah mendapat jodoh. Dan apa yang mereka perlukan hanyalah usaha dan kuasa mengekalkan jodoh. Kami ingin membantu. Kami orang baik.

Suatu malam. Kami ragu tetapi kami tidak ragu dan kami memecah masuk ke rumahnya. Seperti rumah kami, tidak ada apa ketara yang diubah di dalam tersebut melainkan kabinet dapur yang sederhana megah. Kami melihat setiap ceruk ruang yang terdapat di sana. Macam Bill, kami cari kotak dan apa-apa benda yang mungkin dijadikan tempat simpanan barang bernilai. Kami jumpa kotak dengan gambar-gambar mereka, tetapi terasing. Gambar si sayang sedang berpelukan dengan lelaki mat salleh di kelab. Gambar si abang dengan perempuan Melayu di atas motor sedang berciuman. Mereka seolah berperang psikologi sesama sendiri dengan meletakkan kedua benda itu bersama di satu tempat. Ia macam Mak Jah membeli sofa baru untuk merayakan aidilfitri dan Mak Som bertentangan di depan mula cemburu dan membeli sofa baru yang dua ganda kali besar. Mereka berlawan. Sama macam abang dan sayang, mereka berlawan. Ini tidak patut. Ini akan menghancurkan mereka berdua.

Maka kami bersetuju untuk meletakkan nota di atas meja kopi, terletak di tengah-tengah ruang tamu berhadapan dengan tivi. Kami harap nota kami itu dibaca dengan terbuka dan penuh kesedaran. Kami ingin mereka kembali gembira dan kami pun akan gembira. Kami bakal membuat perubahan. Kami punya kuasa.

Berhenti! Jangan bergerak! dan kami semua kelam kabut teriak beramai-ramai dan bertempiaran di ruang rumah tersebut. Ada kami yang cool dan terus menyerahkan diri kepada mereka dan ada kami yang menyorok di tandas dan ada yang cuba menyelit di cermin dapur. Kami semua sudah tertangkap oleh pihak polis. Mungkin kami tidak mengambil apa-apa yang bernilai di sana, tetapi mencerobohi rumah orang asing bukannya suatu perkara halal. Kami tersentak kerana kami turut terpandang si abang dan si sayang berada di depan itu juga. Kami tidak kisah tertangkap dengan polis, tetapi tidak dengan mereka. Kerana kami anggap perbuatan kami yang ingin menyatukan rohani mereka itu suatu rahsia dan mungkin sebagai satu hadiah yang perlukan kejutan. Kami kantoi di situ juga.

Si abang dan si sayang mendekati kami dan menyatakan kami berdua sudah agak kalian semua psiko yang konon nak tiru Bill dalam cerita Following tersebut. Kami terkejut beruk dan bilang mana abang dan sayang tahu? Mereka senyum dan berkata kerana kami mendengar perbualan kalian untuk masuk ke rumah kami. Kami pun bagaiman abang dan sayang tahu? Mereka senyum lebih manis dan jelek sambil berkata dengan menggunakan cawan plastik yang ditekap ke atas dinding pemisah rumah kita berdua.

idea;

— Following, Christopher Nolan (bulat-bulat)