Rujukan

“So dia datang ke rumah Aisyah,” Lin mulakan perbualan, “ketuk pintu dengan pisau kat tangan?”

Aku angguk sambil sedut air sirap melalui straw.

“Lepastu Aisyah takut, berdiri bertentangan dengan pintu tadi dalam keadaan bersandar, lepastu dia menangis?”

“Part menangis tu aku tak tahu lagi,” aku tolak cawan ke depan, gerakkan kepala ke belakang, “maksud aku, kalau dia menangis time tu nanti macam tunjukkan watak Aisyah ni terlalu lemah. Karang pengkritik yang bawa semangat feminisme tembak aku.”

“Well, selalu dalam filem bila perempuan tertekan macam tu confirmlah dia menangis. Dia seorang diri dalam apartmen tu pun.”

Waktu lewat petang tersebut agak mendung kalau diingatkan dari hari-hari yang sebelum ini. Sesi lepak ini sebenarnya datang dari idea dia, kau tahu, untuk kekalkan persahabatan yang kami rasa terlalu susah untuk dijaga dalam remaja usia 20an. Kalau tanya aku, ianya agak benar – aku masih ingat nama, rupa, perangai kawan sekolah menengah tetapi suara mereka semuanya sudah lenyap satu persatu.

Suara itu benda terpenting sebagai manusia. Tanpa suara, kita hanya susuk yang terapung dalam dunia yang gelap, katanya sebelum ini yang dia cedok dari J – aku masih ingat.

“Tapi Aisyah sebenarnya bukan keseorangan Lin,” aku dekatkan kerusi ke meja, sambung kembali perbualan, “dia ada something. Cuba teka.”

“Dia ada…”

“Kau rasa ada apa?”

“Dia erm, ada… kucing?”

“Jap amende kau ni? Bila masa aku masukkan kucing dalam cerita ni?”

“Well aku suka Murakami, jangan salahkan aku.” Dia cebik mulut, angkat kening dalam keadaan bangga, “lagipun kucing comel apa? Maybe kau kena masukkan kucing dalam novel tu sekali.”

Aku buat bunyi merungut sebelum dia gelak kecil sambil tutup mulut, berlagak sopan.

“Dia ada nombor telefon lelaki yang dia jumpa kat bar seminggu sebelumnya.”

“Bar? Babak sebelum mana ada kau mention apa-apa tentang bar pun.”

“Well, time tu lah aku masukkan kisah bar tu. Flashback!”

Aku angkat kening untuk tunjukkan riak bangga. Ini semua dalam draf asal aku yang sebelum. Lin katakan dia boleh jadi kawan yang beri aku jus-jus kreatif, seperti seorang yang beri inspirasi. Sebagai seorang pengarang bebas yang tertutup, aku rasakan ini salah satu peluang aku untuk terima pendapat darinya. Lebih-lebih lagi selepas dia dan J tak lagi bersama.

“No no, that’s so pemalas bro.” Dia buat muka lurus dengan jari telunjuk kiri-kanan yang bersilang pangkah, “lagi pun nama dia Aisyah, nama isteri nabi. Lepastu kau buat dia watak perempuan bar.”

“Hmm, aku tukar nama dia jadi Jenny? Christine? Sarah? Sarah macam boleh jadi se-ra bukan sa-ra, macam Melayu-barat—”

“Masalahnya bukan soal nama. Teknik kau cerita tu macam taknak berfikir. Kau bukan tulis Sherlock Holmes; dia datang tempat kejadian, nampak benda yang tak kena macam bukti yang bertukar tempat bagai, lepastu dapat simpulkan misteri dalam masa sekali imbas.”

“Kau nak kata Conan Doyle pemalas? Siot, aku suka siri dia kot.”

“Well I’m not into mystery or crime stories dude. Maksud aku, paksi kisah Aisyah ni dalam drama psikologikal, means kau kena buat something yang lebih intense dari jumpa nombor telefon mamat asing yang dia jumpa kat bar, yang dia tetiba teringat waktu cemas. Come on.”

Aku buat muka lurus. Ianya reaksi piawai apabila pendapatnya lebih bagus dari aku. Kini dia lebih kritikal dengan perkara macam ini. Berbeza seperti dirinya yang dulu lebih laidback dan santai, mungkin cinta yang gagal dengan J sebelum mengubah dia untuk lebih tegas tentang perinci.

“Well said then.” Aku tarik cawan, “kena brainstorm baliklah gini.”

“Brainstorm? Tak payah. Maybe kau boleh buat ikut cerita asal.” Dia alih pandang ke kiri, “kau jangan ingat aku tak tahu reference cerita kau ni dari kisah siapa.”

Aku tersedak. “Err, maksud kau?”

Dia dekatkan diri ke meja, matanya rapi mengunci aku, “Aisyah tu J dan mamat dengan pisau tu aku kan?”

Aku diam, elak matanya sambil layan pasangan rawak yang sedang bergaduh di hujung meja sana.