Sepi yang Paling Sepi

Rahman sedang diam, berbaring di atas katilnya sambil melihat siling biliknya. Dia cuba meredakan golak akal dan emosinya dengan mengira corak bunga di silingnya. Dia rasa barangkali itu akan menenangkannya, atau paling kurang membuatnya bosan dan kemudian mengantuk dan kemudian tertidur. Corak bunga di atas siling sungguh banyak. Dia mula mengira satu persatu. Dari kanan ke kiri dari atas ke bawah. Dia melakukan tersebut dalam 5 minit dan kemudian akalnya mendapati bahawa kesemua corak bunga tersebut berada di dalam grid yang tersusun. Maka dia berpatah balik mengira dari awal, kira berapa corak bunga yang berada dalam lajur pertama dan kemudian dia mengira berapa corak bunga dalam baris yang pertama. Dia kemudian darabkannya dan voila! dia mendapat jawapan akhir berapa jumlah corak bunga tersebut. Impiannya gagal. Dia tidak mampu tidur atau lupa atau lega.

Dia kemudian cuba mengambil Al-Quran yang terletak di sudut biliknya. Mungkin itu sahaja cara yang terbaik untuk melegakan perasaannya; membaca Al-Quran dalam tenang. Dia melangkah satu persatu. Biliknya boleh dikatakan besar kerana di antara katil dan tempat letak Al-Quran tersebut dibentangi dua karpet berbulu bersaiz 1.5 meter dan 1 meter jarak. Ini bermakna keseluruhan jarak yang perlu diambil baginya untuk mendapat naskah Al-Quran tersebut ialah 2.5 meter. Ketika melangkah, dalam tidak sedar ada jiwa bebas yang nakal membisiknya untuk melupakan hasrat tersebut. Pandai betul jiwa nakal tersebut, mengganggu Rahman dalam keadaan sepi yang paling sepi. Rahman tidak terdaya dan batalkan hasratnya untuk mengambil Al-Quran tersebut. Akal logik Rahman mula mempersoalkan kenapa dia dicipta dalam keadaan lemah sebegitu, menyalahkan si pencipta. Dan dia menyoal takdir, adakah keinginan dia untuk tidak membaca Al-Quran seperti sekarang itu tertulis dalam takdir juga? Takdir untuk dia mengalah, takdir dia untuk mengikut jiwa nakal tersebut atau takdir untuk dia berdosa? Rahman baring dan murung dalam keadaan sepi yang paling sepi.

Rahman rasa sangat sakit. Bukan pada luaran tetapi pada dalamnya. Dia cuba memikirkan benda lain seperti apa filem yang menarik untuk ditonton bersendirian esok, apa sarapan pagi yang bakal Mak Lijah si pembantu rumahnya akan sediakan, dan apa kejutan yang bakal datang dalam masa seminggu dua dalam hidup dia. Rahman tidak terkesan dengan soalan terakhir tersebut. Apa yang dia tahu, selalunya kejutan yang dia dapat adalah benda yang dia tidak mampu kendali. Dalam 100% total kehidupan yang dia lalui sekarang, 97% daripadanya adalah kejutan yang menyakitkan. Sama ada ilusi atau realiti semuanya berkait dengan raksasa yang dia pernah kenal dan belai dahulu. Raksasa itu kini sudah besar dan akalnya melampaui batas Rahman. Apa idea Rahman, pendapatnya senang disangkal oleh raksasa tersebut. Dan dalam setiap sangkal itu, raksasa akan memandang kejam dan mengambil dan mengunyah serpihan hati Rahman. Apa yang Rahman tidak tahu, atau dia tidak mahu sedar ialah adakah raksasa itu orang lain atau dirinya? Ini bermaksud Rahman sendiri yang mencipta idea dan menyangkalnya dan kemudian dia makan hatinya sendiri. Rahman pernah terfikir hal ini tetapi dia memilih untuk tidak menyalahkan dirinya. Dia tidak mahu menyalahkan siapa-siapa yang menjadi raksasa. Dan dia juga tidak mahu menyalahkan takdir dan si pencipta. Dia tidak ada bahan atau entiti yang dia boleh salahkan. Dan itu yang menyebabkan dia sakit dan sakit dan sakit tiap-tiap hari. Ia tiada penghujung. Buku La Tahzan itu sendiri raksasa bagi Rahman. Dalam keadaan gelap dan sepi yang paling sepi, Rahman tidak rasa kata-kata atau semangat La Tahzan itu mampu mengembalikan dirinya kerana Rahman sedar benda dalam La Tahzan itu tidak lain hanyalah satu harapan. Dia pernah percaya pada harapan dan usaha. Dan hasilnya? Dia tersangkut dalam keadaan begini. Lapis dalam sifatnya yang dia tidak pernah ketemu, kini dia tahu yang rupanya dia adalah seorang yang sangat lemah.

Rahman kini hanya ada pilihan terakhir. Dia mengambil pisau lipat dari bekas alat tulisnya dan berharap apa yang dikatakan Nietzsche adalah benar, bahawa jiwa bebas adalah jiwa yang tidak berkait dengan jasad yang penuh dengan batas dan terikat dengan masa. Rahman buka radio dan biarkan bunyi tiada siaran bergema kecil di dalam biliknya, sebagai petanda kini semua telah berakhir. Siaran tivi telah tamat. Siaran radio telah tamat. Buku sudah ditutup rapi. Dan dia juga bakal tamat, satu jiwa dosa akan mati dan tidak akan membebankan si malaikat kiri dan kanan untuk mencatat lagi. Jiwa yang sedia dihukum walaupun ia penuh kesal yang dahsyat.

Idea;

— No Surprises. Radiohead
— All Kill Time; Time Kills All, Krishna Bala Shenoi