Saya masih muda kalau dinyatakan tanpa ego yang sudah lama melekat dalam diri. Sebaliknya, saya percaya dengan segala gelap yang saya lalui sebelum, cukup pasti, saya agak tua untuk beritahu kalian tentang mereka dan kita.
Siapa?
Sebagai sesuatu yang wujud dalam dimensi berlainan, saya tak mampu nyatakan kewujudan saya terlalu ketara. Mungkin akan ada beberapa orang yang sanggup bersendiri dan cuba peka dengan sekeliling dengan adanya saya, atau, dalam keadaan termurung begitu, mereka mampu kesan kewujudan saya yang berlaku sekelip mata – saya tak akan benarkan mereka mampu lihat saya dalam keadaan yang remeh.
Saya pernah wujud sama dimensi dengan mereka. Pernah punya deria seperti mereka dan raikan segala benda di sekeliling tanpa sebarang kesal atau tujuan. Apa tujuan saya pada waktu begitu? Saya tak pasti bagaimana saya mampu jawab soalan tersebut dengan cara yang kasual namun pasti, saya terus melihat mereka semua untuk faham dengan diri saya sendiri.
Saya terbang menembusi bangunan tinggi di keliling kota. Menyusup perlahan melalui lalang di desa rawak. Melihat dan melihat. Dari situ saya cuba simpulkan sesuatu. Saya sesuatu yang tak wujud dan dalam masa yang sama, saya memikir maka saya wujud bukan?
Saya pernah berkawan. Demi tuhan, perasaan berkawan itu cukup menyeronokkan. Saya ramah dengan mereka, mereka ramah kembali dengan saya. Saya percaya kerana hubung-kait kami berdasarkan kemistri persahabatan yang kalau dimaterikan secara imaginasi, ia berbentuk pancaran kilat yang laju dan lembut, berdiri dengan kekuatan kasih/cinta/sayang dan malangnya ia berlaku dengan pantas. Melainkan saya ambil masa untuk peka dengan nikmat sekejap tersebut, saya tak mampu nyatakan ia sesuatu yang seronok kerana ia lebih menyakitkan. Dalam dimensi mereka, kekuatan terbentuk dari kebergantungan walhal saya melihat dari sini dan mereka semua hidup dalam semesta yang berbeza – berputar dan bergerak lain arah dan waktu.
Jadi beritahu saya, bagaimana mereka mampu terima dan kemudian tinggalkan satu sama lain seperti tak ada apa-apa yang penting?
Adakah kerana berkawan memberikan kita perasaan security yang asas? Atau, kita memang perlu bergantung untuk berkongsi dan memberi. Memberi sebanyak boleh dan bukan mengambil, ayat hikmah yang hip bukan? Beritahu saya lagi sekali, bolehkah kita memberi segalanya tanpa menerima apa-apa?
Saya terus hilang dalam kalian dan terus bertanya dengan senyuman. Jangan risau, senyuman saya ikhlas dan bukannya sinis. Saya adalah makhluk yang tak pernah tahu dan tak mampu tahu selagi mana saya memikir. Ia berkait relatif? Pengalaman saya meletakkan saya selari dengan kesakitan yang saya alami, bersatu dengan tulang-tulang terdalam saya – saya raikannya tanpa kesal.
Jadi permintaan terakhir saya, beritahu saya apa kebenaran ikatan yang mampu disimpul dari pengalaman kalian?