H

"Cinta tak mudah. Kalau nak raikan setia dan patuh yang mutlak, pi bela anjing."

H kata ini sewaktu dia bercakap sendiri di depan cermin. Dia cuba tenangkan diri selepas kejadian semalam yang berlaku pantas, seolah layar di depan menayangkan komedi ulung dan semua sanggup menantikan kerlipan cahaya projektor walaupun hanya beberapa saat. Dia salah satu dari penonton yang tak faham. Sama ada punchline terlalu bijak atau dia yang terlalu bodoh. Waktu dia memandang kerusi lain di dalam panggung, dia sedar yang dia keseorangan.

Ini semua berbalik pada Michimiya, kekasihnya sebelum. Mereka berkenalan dalam beberapa bulan sebelum masing-masing setuju dengan kontrak cinta. Ianya penyakit yang ketara: mereka akan bersama pada setiap masa, mengulang kisah lawak yang hambar dengan semangat yang baru, menangis disokong bahu masing-masing, gelak pada benda yang janggal — untuk pasangan kekasih, ianya normal. Michimiya tak pernah ada kekasih sebelum maka pada mulanya keadaan cukup tertekan. H cuba beri klu asing dan Michimiya buat muka lurus. Beberapa minggu hingga ianya berhasil.

Jadi sekarang H ditinggalkan Michimiya yang pergi bersama lelaki lain. Michimiya jenis yang pantas belajar maka ianya boleh dikatakan rasa berbunga tersebut dituai oleh H sebelum ianya mula matang dan keluarkan hasil — Michimiya kini sudah reti bercinta. Malangnya ianya bukan untuk membalas kisah semalam mereka.

H duduk di katil, bersandar dan pandang cermin. Jam tepat 12 malam.

"Miya tak pernah salah. Kau kena tahu yang dia bukan anjing belaan dan kontrak perasaan ini sangat senang untuk putus. Frasa inggeris we grew apart itu benar-benar berlaku dan ia bukan soal Tom Hansen dengan Summer Finn yang aku sendiri tak faham kenapa cerita tersebut bodoh dan bangsat."

Dia beralah pada hujung kata. Bingung dan serabut digaul bersama.

"Miya tak pernah salah. Aku yang bersalah sebab percaya pada dia. Kejap, itu bermaksud aku salahkan dia juga. Aku dan dia tak bersalah. Takdir yang salah. Takdir yang ketemukan aku dengan dia. Takdir yang buatkan aku ada perasaan kat dia. Takdir yang... kejap, aku tak boleh salahkan takdir sebab takdir itu dalam kawalan tuhan. Aku tak mahu salahkan tuhan."

Dia rapatkan lutut dan tekan mukanya pada lutut secara perlahan. Dia cuba keluarkan air mata namun gagal.

"Miya tak pernah salah. Aku yang kurang. Aku dicipta kurang dan dihukum pada kekurangan aku sendiri. Sob-sob."

Dia tertidur dan aneh, tidurnya pada malam itu cukup lena berbanding hari-hari sebelum.