Nostalgia: Hal yang Tidak Berlaku




Bagaimana untukku katakan
nostalgia yang datang dalam pelbagai
rasa dan bentuk—sesuatu yang kadang
tidak pernah sekalipun terjadi
sebuah ucap atau puisi, entah bagaimana
merentas ruang dan masa alam
lantas menusuk ke daerah asing yang dalam

Runut bunyi sendu atau rentak tari yang sepi
berjalan dalam diri—adakah ia simbol kewujudan
tentang manusia yang dilahirkan dengan satu jasad
kemudian mengutip pengalaman dami pengalaman
kemudian sapaan kematian—juga ke tanah dengan satu jasad
dan kita tekun berhubung, menyentuh orang lain
adalah titik bintang yang cuba menentang gelita angkasa
"kesemuanya bermula dengan kosong dan vakum,
kitaran ingat-lupa (gambar akan pudar, sudah tentu)
sejarah hanya untuk yang tidak tahu tidur
dan menggaru baki rambut di kepala yang hampir botak

Kuasa nostalgia dari filem, lagu, pemandangan
yang tidak pernah kita bertemu dahulu
tetapi hanya untuk hadir ketika semasa, lalu kita
faham betapa jauh usia dan langkah kita dalam dunia
pengulangan hela-hembus bernafas yang tidak terkira
gerak bibir menolak untuk diam, oh bumi jangan lupa suaraku
menyebut ayat hujung (kita tidak mahu percaya ia terakhir),
"nostalgia akan luput, dunia dan masanya akan leka,"
kata, paksa untuk berkata, "cuba untuk bertenang."